Tiga Kilang Honda di Wuhan, China milik syarikat kerjasama Dongfeng Honda terpaksa ditutup sejak Selasa lalu, akibat kes jangkitan virus Covid-19 yang mengganas semula di negara berkenaan, lapor Nikkei Asia.

Menurut Honda dalam laporan berkenaan, terlalu ramai pekerjanya tidak dapat hadir untuk bertugas di kilang-kilang terebut kerana perintah berkurung telah dibuat pada kawasan-kawasan sekitar. Kilang-kilang yang mempunyai kapasiti untuk menghasilkan sejumlah 720,000 kenderaan berkenaan kini dalam keadaan tidak menentu kerana masih tiada petunjuk bila ia boleh beroperasi kembali.

Kali terakhir kilang-kilang berkenaan terpaksa dihentikan dari beroperasi adalah ketika perintah berkurung selama 76-hari yang dibuat oleh kerajaan negara tersebut yang berakhir pada April tahun lalu.

Selasa lalu pihak berkuasa Wuhan telah mengumumkan bahawa mereka akan mula membuat ujian saringan Covid-19 kepada semua 12 juta penduduknya. Ia berikutan kes varian delta yang mula dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanjing pada 20 Julai lalu.

Penyebaran virus dalam varian yang lebih cepat merebak tersebut diburukkan lagi dengan musim percutian musim panas di China, menyebabkan ia tersebar ke 30 bandar di negara berkenaan termasuk Beijing, Shanghai dan Chongqing. Bagi mengekang penyebaran virus berkenaan, lebih 1.7 bilion dos vaksin telah diedarkan ke seluruh China sehingga Selasa lalu, dan sekurang-kurangnya 800 juta rakyatnya telah menerima suntikan berkenaan.

Walau bagaimanapun, professor dari University of Massachusetts Medical School, Lu Shan mengatakan dalam laporan Nikkei tersebut bahawa vaksin yang dibangunkan oleh China iaitu Sinopharm dan Sinovac hanya mempunyai kadar keberkesana antara 50% hingga 78%, berbanding vaksin keluaran Pfizer dan Moderna dari Amerika Syarikat yang mempunyai keberkesanan melebihi 90%.