BMW iX3 G08 sebenarnya baru berusia lebih sedikit daripada satu tahun, di mana ia didedahkan buat kali pertama pada bulan Julai tahun lepas. Walaubagaimanapun, dengan model X3 G01 LCI telah pun didedahkan dua bulan lepas, model elektrik penuh ini juga diberikan pembaharuan sama.

Perubahan visual paling jelas adalah lampu utama LED lebih nipis (10 mm lebih rata berbanding sebelum ini), lampu belakang LED serba baru dengan keliling gelap, rim 19 inci baru dan gril yang sedikit lebih besar. Pilihan tambahan yang diberikan termasuk lampu LED adaptif dengan LaserLight serta rim M 20 inci.

Pakej M Sport kini diberikan secara standard, menjadikan bampar hadapan dan belakangnya lebih sporty. Bahagian bukaan udara di bawah bampar dijadikan lebih lebar, dan ia mempunyai pengawal sirip aktif 10 tahap untuk menyejukkan bahagian seperti brek. Penjuru bampar pula mempunyai kemasan warna biru.

Pada bahagian dalam, peningkatan yang dibuat pada iX3 ini sama seperti X3. Paparan infotainmen kini lebih besar dengan skrin 12.3 inci mendatar, dan saiznya adalah sama dengan panel instrumen. Ada boleh melihat terdapat kemasan biru pada butang pemula enjin, tombol gear serta lencana di tengah stereng. Lampu suasana dalam SUV ini juga berwarna biru.

Dalam keadaan standard, model asas diberikan dengan balutan Sensatec berliang warna hitam atau cognac, dan ia kemudiannya boleh dinaik taraf kepada kulit Vernasca dalam warna Mokka, Oyster atau hitam dengan jahitan biru. Memandangkan pakej M Sport adalah standard, lapik bumbung kini berwarna hitam sementara kemasan lain menggunakan Aluminium Rhombicle gelap.

Satu lagi pilihan tambahan yang disediakan adalah pakej “Impressive”, di mana ia memberikan cermin hadapan akustik, Comfort Access, balutan kulit Vernasca, BMW Gesture Control, head-up display, sistem bunyi Harman Kardon dan fungsi BMW IconicSounds Electric (bunyi berbeza dihasilkan mengikut kelajuan). Aturan start/stop akustik yang dibangunkan bersama Hans Zimmer masih diberikan terus.

Penggerak elektrik model ini masih tidak diusik kerana ia sudah menggunakan teknologi eDrive generasi kelima yang paling baru oleh BMW. Motor elektrik padanya mampu menghasilkan kuasa maksimum 210 kW (286 PS) dan tork 400 Nm. Transmisi satu kelajuan menghantar kuasa ke roda belakang, dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat sebelum mencapai laju maksimum yang dihadkan kepada 180 km/j.

Bateri lithium ion 74 kWh pada iX3 dikatakan dapat memberi jarak gerak sehingga 460 km mengikut kitaran WLTP, dan boleh dicas pada kadar maksimum 150 kW (DC). Dari tahap 10%, ia boleh meningkat sehingga 80% dalam masa cuma 32 minit, dan masa mengecas selama 10 minit dapat memberikan jarak gerak 100 km. iX3 datang secara terus dengan pengecas 11 kW, dan apabila disambungkan kepada Wallbox, ia boleh dicas semula dari kosong sehingga penuh dalam masa 7.5 jam.

Pada bahagian keselamatan, iX3 dilengkapi dengan BMW Driving Assistant Professional secara standard, di mana ia termasuk sistem amaran perlanggaran hadapan, maklumat had laju dengan tanda tidak boleh memotong, bantuan had laju automatik dengan pemerhati laluan, cruise control aktif dengan fungsi gerak dan henti, amaran tukar lorong, amaran keluar lorong, Lane Keeping Assit dengan perlindungan perlanggaran tepi aktif, serta pemerhati trafik hadapan dan belakang dengan perlindungan perlanggaran belakang.

Pengeluaran iX3 facelift ini akan bermula pada bulan September di kilang rakan kongsi BMW di China, untuk pasaran tempatan dan juga eksport. Harga jualannya di Jerman bermula 67,300 euro (RM334k).