Pada bulan November tahun lepas, pengeluar motosikal dari Thailand, GPX Racing telah melancarkan sebuah skuter yang dipanggil sebagai GPX Drone. Ini sebenarnya adalah sebuah model yang dijenamakan semula daripada SYM Jet X. Pasaran Malaysia juga sudah menerima SYM Jet X ini Mei lalu, dengan harga jualan yang bermula RM8.9k.

Kini, dengan hanya baru beberapa bulan diperkenalkan, GPX sudah melancarkan pula Drone 4V, iaitu versi dipertingkat yang mana enjin suntikan bahan api 149.6 cc padanya kini menggunakan empat injap (sebelum ini dua injap).

Peningkatan kuasa selepas menggunakan tetapan empat injap ini tidak dinyatakan, tetapi ia diberitahu dapat memberikan pecutan 28% lebih baik, operasi lebih lancar serta penggunaan bahan api 16% lebih baik. Enjin dua injap pada SYM Jet X pasaran Malaysia mampu menghasilkan 12.3 hp pada 8,000 rpm dan 12 Nm pada 6,000 rpm.

Perincian lain termasuk kelengkapan skuter ini masih sama seperti sebelumnya, dan versi empat injap ini ditawarkan pada harga bermula 68,900 baht (RM8,800) di Thailand, dalam pilihan lima warna iaitu hitam, merah, putih, biru matte dan oren.

Kelengkapan lain yang ada pada GPX Drone (dan juga SYM Jet X) adalah tangki bahan api 7.5 liter, sistem kunci pintar bersama penggera, semua lampu jenis LED, pengecas USB, panel meter LCD digital penuh, rim 14 inci, brek cakera depan dan belakang, fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.