Geely Auto catat untung RM1.56b pada separa pertama 2021 – cabaran lebih besar dijangka pada separa ke-2

Geely Auto catat untung RM1.56b pada separa pertama 2021 – cabaran lebih besar dijangka pada separa ke-2

Geely Auto telah mengumumkan bahawa mereka telah mencatatkan keuntungan berjumlah 2.38 bilion yuan (RM1.56 bilion) sepanjang separa pertama tahun 2021, atau 4% lebih tinggi berbanding jumlah 2.3 bilion yuan (RM1.5 bilion) yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu. Pendapatan syarikat berkenaan juga telah meningkat sebanyak 22% kepada 45 bilion yuan (RM29.4 bilion).

Manakala dari segi jualan pula, Geely Auto telah berjaya menghantar sejumlah 630,237 unit kenderaan, naik sebanyak 19%. Walau bagaimanapun, masalah bekalan cip semikonduktor kini sedang menjejaskan jenama China berkenaan dari segi produksi, di mana angka yang dicatatkan kini masih tidak mencapai separuh dari sasaran tahunannya, lapor Reuters.

Selain dari krisis cip semikonduktor tersebut, Pandemik Covid-19 yang bukan sahaja belum berakhir malah dilihat mengganas semula menerusi varian terbaharu, memaksa pihak berkuasa tempatan di pelbagai pasaran mengeluarkan arahan sekatan pergerakan turut bakal mendatangkan masalah.

“Masalah bekalan cip yang menjadi semakin buruk kebelakangan ini dan juga kes Covid-19 global yang meningkat kembali mungkin akan menjadi ancaman yang besar terhadap prestasi jualan kami untuk beberapa bulan akan datang, sekaligus mengurangkan peluang kami untuk mencapai sasaran,” kata Geely kepada agensi berita tersebut.

Walau bagaimanapun, ia menambah bahawa pelancaran model-model lebih kompetitif akan datang “sepatutnya mampu untuk membolehkan kumpulan untuk memberikan prestasi lebih baik untuk separa kedua”. Model-model berkenaan termasuk sedan segmen-B Emgrand, Binyue Pro facelift, dan juga SUV Xingyue L yang kesemuanya telah diumumkan beberapa bulan kebelakangan ini.

Geely juga kini sedang menggandakan usaha mereka terhadap pembangunan kereta-kereta elektrik dengan mendedahkan platform SEA yang dihasilkan khas untuk kenderaan sedemikian. Platform modular berkenaan mampu untuk mengasaskan kenderaan elektrik sekecil dari kelas segmen-A sehingga model besar segmen-D, model mewah segmen-F, kereta sport, malah trak pikap dan kenderaan komersial 3.5 hingga 5.5 tan.

Geely juga telah melancarkan jenama baharu mereka yang digelar Zeekr, khas untuk penghasilan kereta-kereta premium yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya. Model pertama mereka iaitu Zeekr 001 telah pun habis dijual di China. Model berkenaan didakwa sebagai shooting brake pertama di dunia yang dijana elektrik sepenuhnya, serta dihasilkan dalam saiz yang agak besar dengan dimensi 4,970 mm panjang, 1,999 mm lebar, 1,560 mm tinggi dan jarak roda sejauh 3,005 mm.

Geely Auto catat untung RM1.56b pada separa pertama 2021 – cabaran lebih besar dijangka pada separa ke-2

Zeekr 001 ditawarkan dengan dua pilihan unit rangkaian kuasa, di mana kedua-duanya menerima motor elektrik berkuasa 200 kW (272 PS) dan tork maksima 384 Nm. Versi pacuan roda belakang dengan hanya satu motor berupaya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, manakala model pacuan semua roda dengan dua motor elektrik (menghasilkan 544 PS/768 Nm secara keseluruhan) pula mampu untuk membuat pecutan sama dalam masa hanya 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksima 200 km/j.

Dua saiz bateri Lithium-ion ditawarkan untuk kereta elektrik berkenaan iaitu 86 kWj dan 100 kWj. Unit yang paling kecil menawarkan jarak gear sejauh 526 km (kitaran NEDC), manakala unit 100 kWj pula berupaya untuk memberikan jarak gerak sejauh 712 km (606 km untuk varian AWD).

Ia boleh dicaj semula menggunakan pengecaj DC 360 kW, yang mampu untuk memberikan jarak gerak sejauh 120 km dengan caj selama lima minit. Model pertama Zeekr yang juga model produksi pertama yang dihasilkan dari platform SEA berkenaan sudahpun menunjukkan potensi yang begitu besar, jadi boleh dijangka Geely bakal menghasilkan model elektrik yang lebih baik selepas ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required