Selepas model iX dilancarkan, BMW Malaysia juga mengesahkan bahawa satu lagi SUV elektrik yang lebih kecil, iaitu iX3 juga akan dibawa ke negara kita. Model ini sebenarnya telah didedahkan terlebih dahulu berbanding iX – pada Jun 2020 – tetapi baru sahaja menerima facelift mengikut X3 baru.

Disebabkan itu, iX3 akan tiba lambat sedikit, berkemungkinan pada waktu hampir sama seperti i4 ataupun X3 facelift. Kita juga dapat mengetahui, Malaysia akan menerima iX3 versi facelift (tidak seperti Thailand dan Singapura) kerana laman web rasmi mereka menunjukkan gambar versi tersebut.

Spesifikasi iX3 untuk Malaysia masih belum diberitahu, tetapi kita boleh membuat jangkaan kerana di pasaran antarabangsa ia hanya datang dalam satu spesifikasi sahaja, iaitu menggunakan motor elektrik berkuasa 210 kW (286 PS) dan 400 Nm tork di belakang. Dengannya, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 180 km/j.

iX3 juga dilengkapi dengan bateri 74 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak 460 km sekali cas. Pengecas standard yang diberi dapat menerima kuasa AC triple-phase sehingga 11 kW (7.4 kW bagi single-phase), dan mengambil masa 7.5 jam untuk memenuhkan baterinya. Ia juga boleh digunakan dengan pengecas pantas DC sehingga 150 kW, yang boleh menaikkan tahap bateri dari 10% ke 80% dalam masa cuma 32 minit dan memberikan tambahan jarak gerak 100 km selepas dicas 10 minit.

Peningkatan visual pada model facelift ini mengikuti apa yang dilakukan pada X3, termasuklah lampu hadapan lebih nipis, gril lebih besar serta lampu belakang tiga dimensi. Pakej M Sport diberikan terus, di mana ia menjadikan rupanya lebih sporty dengan bukaan udara besar pada bampar, kemasan keliling badan sama warna serta diffuser yang besar di belakang.

Di bahagian dalam, iX3 menerima perubahan rekaan yang ketara, dengan papan pemuka baru lebih tajam dan mendapat beberapa elemen daripada 3 Series G20 termasuk tombol gear dan butang berhampirannya. Skrin sesentuh di bahagian tengah kini lebih besar (12.3 inci), dan ia menjadi sebahagian daripada BMW Live Cockpit Professional yang juga memberikan panel instrumen digital 12.3 inci.