Pakar pembuat kereta kompak dari Jepun, Daihatsu, mengumumkan bahawa mereka telah mencapai angka produksi tujuh juta unit di Indonesia bulan lalu selepas 43-tahun beroperasi di negara berkenaaan. Kejayaan tersebut diraikan dalam suasana pandemik Covid-19 yang belum berakhir oleh Astra Daihatsu Motor (ADM) secara maya minggu lalu.

Daihatsu mula bertapak di Indonesia pada 1962, percaya atau tidak mereka bermula dengan menjual Daihatsu Midget generasi pertama, yang ketika itu masih dalam bentuk kenderaan tiga-roda dan dikenali sebagai Bemo di pasaran berkenaan. Produksi tempatan pula bermula pada tahun 1978, dan mereka mengambil masa selama 27 tahun bagi mencapai angka produksi satu juta unit pada tahun 2005.

Model yang dibuat ketika angka tersebut dicapai adalah MPV tujuh-tempat duduk Daihatsu Xenia, iaitu kembar terus kepada Toyota Avanza. Angka 2 juta pula dicapat hanya lima tahun selepas itu iaitu pada 2010, juga menerusi Xenia. Produksi Daihatsu di Indonesia semakin rancak selepas itu di mana angka ke-3 juta hanya dicapai dalam masa tiga tahun iaitu pada 2013.

Produksi ke-4 dan -5 juta masing-masing dicatatkan pada tahun 2015 dan 2017, seterusnya ADM berjaya mencapai angka produksi ke-6 juta tidak sampai dua tahun iaitu pada 2019. Produksi yang begitu laju ini dicapai adalah kerana permintaan yang tinggi terhadap model mampu milik dibawah undang-undang Kereta Hijau Kos Rendah (LCGC) negara tersebut, iaitu kembar Daihatsu Ayla/Toyota Agya (juga kembar kepada Perodua Axia di Malaysia) dan juga versi MPVnya iaitu kembar Daihatsu Sigra/Toyota Calya (diperkenalkan pada 2016).

Walaupun perlu melalui protokol yang ketat bagi beroperasi sepanjang tempoh pandemik Covid-19, ADM berupaya mencapai angka produksi ke-7 juta menerusi Daihatsu Rocky (kembar kepada Perodua Ativa) dalam varian 1.2L berwarna kuning pada Julai 2021. Syarikat berkenaan pada awalnya mensasarkan untuk mencapai angka tersebut pada tahun lalu, namun ia tergendala kerana wabak Covid-19.

Hari ini, ADM mempunyai kilang di Sunter dan Karawang dengan jumlah kapasiti produksi tahunan 530,000 unit. Seperti yang dinyatakan tadi, ia turut memproduksi model-model kembar dengan logo Toyota untuk Toyota Astra Motor (rakan kerjasama tempatan yang sama dalam Astra), yang telah menyumbang 40% kenderaan yang dijual di Indonesia dalam lima tahun kebelakangan ini.

Kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya (atas) serta kembar Daihatsu Sigra dan Toyota Cayla (bawah) yang kesemuanya diproduksi oleh ADM

Kereta-kereta yang dihasilkan oleh ADM ini turut dieksport ke 75 negara, dan syarikat tersebut turut mempunyai pusat R&D yang dikatakan paling lengkap di Indonesia, iaitu pasaran terbesar Daihatsu di luar Jepun.

“Pencapaian produksi mencecah tujuh juta ini merupakan detik yang penting untuk ADM, lebih-lebih lagi ia berlaku di tengah-tengah pandemik. Daihatsu akan terus komited untuk memenuhi keperluan pelanggan kami dengan memberikan produk terbaik dengan standard kualiti global,” kata pegawai eksekutif ADM, Kurniawan Rahardono.

ADM telah melabur sejumlah 1.7 trilion rupiah (RM494 juta) untuk memproduksi kembar Daihatu Rocky dan Toyota Raize yang diasaskan dari platform terbaharu DNGA, dan ia turut dirancang untuk dieksport ke 50 buah negara dalam bentuk Toyota Raize.

GALERI: Daihatsu Rocky pasaran Indonesia

GALERI: Toyota Raize pasaran Indonesia