Kia Sportage 2022 tiba di Eropah dengan spesifikasi tersendiri – dimensi serta talaan casis berbeza

Kia Sportage 2022 tiba di Eropah dengan spesifikasi tersendiri – dimensi serta talaan casis berbeza

Kia Sportage generasi kelima kini telah sudah memasuki pasaran Eropah, tetapi dengan perincian yang berbeza berbanding versi global. Menurut Kia, Sportage khas untuk Eropah ini diubah khas untuk pasaran itu, dan menjadikan ia model pertama yang menerima perubahan sebegitu sepanjang 28 tahun sejarah penubuhan syarikat.

Model ini masih dibina atas platform N3 keluaran Hyundai Motor Group yang sama, tetapi jarak rodanya berbeza, iaitu 2,680 mm (kurang 75 mm berbanding versi global biasa). Panjang keseluruhan juga dikurangkan 145 mm, menjadi 4,515 mm manakala tinggi berkurang 15 mm menjadi 1,645 mm. Dimensi ini menjadikannya hampir sama seperti Sportage generasi sebelumnya, tetapi dengan jarak roda 10 mm lebih pendek dan panjang yang bertambah 30 mm.

Perbezaan panjang yang jelas ini memerlukan badan juga diubah, terutamanya di bahagian tepi dan boleh dilihat jelas pada rekaan pintu belakang dan c-pillar. Cermin paling belakang pada versi jarak roda panjang ini telah dibuang sepenuhnya, dan digantikan dengan panel besi. Pilihan saiz rim terdiri daripada 17 inci hingga 19 inci, sementara versi GT Line mendapat bumbung warna hitam.

Bahagian kokpit tidak diubah, dengan bahagian tengah didominasi panel paparan melengkung yang terdiri daripada dua skrin LCD 12.3 inci. Sistem infotainmen boleh dikemas kini atas talian, dan disambungkan kepada sistem bunyi premium Harman Kardon.

Hasil daripada jarak roda yang lebih pendek, ruang kaki juga berkurang dari 1,050 mm ke 996 mm (-54 mm) dan ruang simpanan barang belakang berkurang dari 637 liter ke 591 liter. Tempat duduk belakang boleh dilipat 40:40:40 dan boleh menambah ruang menjadi 1,780 liter.

Kia Eropah juga mendakwa akan melakukan talaan khas untuk bahagian casis, stereng serta kualiti pemanduan, tetapi tidak menyatakan perincian spesifiknya. Pilihan enjin yang tersedia sudah diumum, terdiri daripada unit petrol, diesel dan hibrid.

Kia Sportage 2022 tiba di Eropah dengan spesifikasi tersendiri – dimensi serta talaan casis berbeza

Bagi unit 1.6 T-GDI plug-in hybrid, ia terdiri daripada enjin pembakaran dalaman 180 PS, dan dibantu motor elektrik 66.9 kW untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 265 PS. Ia kemudiannya dipadankan dengan pek bateri lithium-ion polymer yang dapat memberikan jarak gerak elektrik 45 km.

Pilihan enjin lain yang disediakan termasuk hibrid ringkas 1.6 T-GDI 230 PS, menggunakan motor elektrik 44.2 kW dan bateri LiPo 1.49 kWh. Turut disediakan adalah enjin diesel 1.6L dengan kuasa 115 PS, atau 136 PS untuk versi MHEV. Pilihan kotak gear terdiri daripada DCT tujuh kelajuan dan manual pintar enam kelajuan. Kotak gear automatik lapan kelajuan seperti versi global tidak disebut.

Semua Sportage pasaran Eropah dipasang terus dengan teknologi Idle Stop-and-Go. Fungsi ISG ini bekerja sekali dengan teknologi ADAS, yang dapat mengimbas keadaan di hadapan untuk menentukan sama ada ISG patut diaktifkan atau tidak. Menurut Kia, ini mengelakkan operasi enjin hidup dan mati yang tidak perlu.

Turut disediakan adalah Terrain Mode, yang membenarkan pemandu untuk memilih antara mod salji, lumpur dan pasir. Turut disediakan adalah mod pemanduan biasa Comfort, Eco dan Sport. Setakat ini masih tidak diketahui sama ada model hibrid akan mendapat sistem E-Handling, tetapi varian premium akan dilengkapi dengan suspensi adaptif dan AWD kawalan elektronik.

Kia memberitahu, Sportage adalah antara model kenderaan mereka yang paling selamat dalam kelasnya, dengan keselamatan menjadi keutamaan semasa proses pembangunan. Pakej sistem bantuan pemandu DriveWise menyediakan ciri pemanduan semi-autonomous Level 2, yang termasuk Navigation-based Smart Cruise Control, Highway Driving Assist, Forward Collision-Avoidance Assist System dengan Junction Turning, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, dan Intelligent Speed Limit Assist.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required