Lotus telah memperkenalkan sebuah model GT4 spesifikasi lumba yang menggunakan asas daripada Emira. Sekarang ini hampir semua kereta Lotus yang dijual untuk kegunaan jalan biasa mempunyai versi lumba, tetapi kemunculan Emira GT4 ini boleh dianggap agak pantas kerana model asasnya baru sahaja didedahkan Julai lalu.
Ia dibangunkan bersama RML Group, dan dinyatakan sebagai satu lagi pencapaian baru dalam transformasi menyeluruh Lotus serta era perlumbaan GT berprestasi baru bagi syarikat milik Geely ini.
Sama seperti model jualan awam, Emira akan menggantikan Evora di dalam litar. Sebelum ini, Evora GT4 telah memenangi pelbagai perlumbaan dan kejuaraan termasuklah British GT, Dubai 24hrs, European GT, Sepang 12hrs dan Pirelli World Challenge.
Menurut Lotus, setiap kereta yang dijual kepada pelanggan akan terus mendapat kelulusan untuk kegunaan dalam litar, dipasang dengan komponen lumba serba ringan serta menepati peraturan keselamatan terkini yang telah ditetapkan.
Pada kereta ini, Lotus telah memberikan fokus kepada “dinamik serta stabiliti kelajuan tinggi yang cemerlang.” Panel komposit yang digunakan pada badan kenderaan menjadikan ia sangat ringan (1,260 kg, bersamaan 145 kg lebih ringan berbanding model jalanan), dan dipadankan bersama enjin V6 3.5 liter Toyota yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 400 hp.
Enjin 2GR-FE ini dipasang dengan supercharger Harrop TVS 1900, boleh mencecah 7,200 rpm dan dipadankan bersama transmisi xTrac enam kelajuan dengan pedal penukar gear di stereng serta limited slip differential. Sistem pendawaian khas untuk kereta lumba digunakan bersama panel paparan Motec untuk menyampaikan informasi kepada pemandu.
Suspensi double wishbone di depan dan belakang kereta ini digabungkan bersama penyerap Ohlins dan anti-roll bar, sementara sistem brek daripada Alcon dan Bosch Motorsport ABS menjalankan tugas penghentian. Tayar adalah unit Pirelli GT4 bersaiz 265/645×18 di hadapan dan 305/680×18. Sebagai sebuah kereta lumba, sudah tentu, kereta ini dipasang dengan roll cage mengikut spesifikasi FIA, tali pinggang six-point serta pemadam api.
“Emira GT4 serba baru ini adalah satu langkah mengujakan yang menuruti kejayaan pelancaran Emira jalanan. Kami telah bekerja keras dengan RML Group untuk memastikan kereta GT Lotus generasi baru ini akan dapat memberikan prestasi yang boleh membawa kepada kemenangan,” kata pengurus program lumba Lotus, Richard Selwin.
Emira GT akan dilancarkan secara rasmi hujung tahun ini di litar ujian Lotus di Hethel. Syarikat itu meletakkan sasaran untuk mengeluarkan hanya satu jumlah yang terhad untuk GT4 musim 2022 ini, dan pengeluaran akan ditingkatkan pada tahun 2023 mengikut permintaan global.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.