Beberapa minggu lepas kita telah menyaksikan Kawasaki mengeluarkan satu teaser yang memberi gambaran kepada ketibaan sebuah model baru. Tetapi dalam teaser itu kita tidak dapat melihat langsung motosikal tersebut, kecuali cermin sisinya.

Kini satu lagi teaser disiarkan di bawah konsep “Retrovolution” yang sama dan terdapat penampilan penuh sebuah motosikal. Walaubagaimanapun, itu adalah model lama (mungkin keluaran tahun 1970-an) dan tidak kelihatan sebagai sebuah model baru yang akan dilancar.

Video teaser itu hanya mempunyai durasi 26 saat dan bahagian lain tidak menunjukkan sebarang motosikal. Oleh sebab itu, kita boleh menggunakan kemunculan model klasik ini sebagai satu petanda dan semestinya mereka tidak meletakkannya di situ tanpa sebab.

Ramai yang menjangka kita bakal melihat kelahiran Z650RS, sebuah model yang mempunyai bentuk ala klasik, tetapi dengan kelengkapan moden, seperti yang dilakukan pada Z900RS sebagai penyambung generasi Z1. Kemudiannya Kawasaki memberitahu, ia akan muncul pada 27 September ini.

Walaupun dengan bentuk klasik, kita boleh menjangka Z650RS ini nanti menggunakan asas yang sama seperti Z650 naked, termasuklah enjin dua silinder selari 649 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa sekitar 68 PS dan 65.7 Nm tork.