Nissan GT-R sudah terlalu ‘tua’, tak patuh piawaian keselamatan, akan dihentikan jualan di Australia

Nissan GT-R sudah terlalu ‘tua’, tak patuh piawaian keselamatan, akan dihentikan jualan di Australia

Nissan GT-R R35 telah diperkenalkan buat pertama kali pada tahun Disember 2007, jadi masuk tahun ini, kereta sport Jepun berkenaan sudah berada hampir 14 tahun dalam pasaran. Dari segi prestasi, ia sememangnya masih sangat relevan kerana kuasa dan gaya yang diberikan masih setara dengan pesaingnya yang lain.

Namun dengan teknologi kerangka yang sudah pun berusia lebih dari satu dekad, GT-R R35 kini mula berhadapan dengan masalah untuk terus mematuhi piawaian keselamatan semasa yang sentiasa dipertingkat saban tahun. Di Australia, model tersebut bakal dihentikan jualannya pada akhir Oktober ini kerana ia sudah tidak lagi lulus dengan undang-undang keselamatan terbaharu negara berkenaan.

Menurut laporan Drive, Nissan GT-R 35 tidak lagi mematuhi piawaian yang ditetapkan pada ujian pelanggaran sisi baharu, bakal dikuatkuasakan di negara tersebut bermula 1 November 2020.

Nissan GT-R sudah terlalu ‘tua’, tak patuh piawaian keselamatan, akan dihentikan jualan di Australia

Piawaian baharu yang dikenali sebagai “Undang-undang Rekaan Australia 85/00 – Prestasi Impak Sisi Tiang” (atau ADR 85) yang bakal digunakan bermula awal November itu disasarkan untuk mengurangkan kecederaan dan kematian ketika impak pelanggaran sisi terhadap objek seperti pokok atau tiang, dikuatkuasakan terhadap kereta penumpang dan SUV yang diperkenalkan sebelum 1 November 2017.

Sesebuah kereta baharu yang tidak memenuhi piawaian baharu berkenaan perlulah diimport dan disahkan untuk kegunaan atas jalanraya sebelum 1 November 2021, dan pendaftarannya akan ditutup menjelang 30 Jun 2022, tulis Drive dalam laporan tersebut.

Nissan GT-R hanya diproduksi di Jepun, dan bagi model edisi terhad Nissan GT-R T-Spec yang baharu sahaja didedahkan semalam, Nissan Australia bakal menerima 50 unit untuk dijual kepada pelanggan di negara berkenaan. Ini bermaksud GT-R T-Spec akan menjadi model terakhir R35 yang akan dibawa dan dijual di Australia.

Nissan GT-R sudah terlalu ‘tua’, tak patuh piawaian keselamatan, akan dihentikan jualan di Australia

“Dengan perlaksanaan undang-undang rekaan impak sisi tiang Australia (ADR 85) yang unik, Nissan GT-R tidak lagi akan diimport ke pasaran Australia selepas 31 Oktober, 2021. Ambil perhatian bahawa undang-undang ini tidak terkena kepada model sedia ada di pasaran lain,” tulis satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Nissan Australia.

Drive menyatakan bahawa dengan pengakhiran jualan berkenaan, ini bermaksud tidak sampai 1,000 unit R35 yang dijual secara rasmi oleh Nissan di negara tersebut sejak ia dilancarkan pada April 2009. Jualan GT-R juga dilihat semakin menurun dari masa ke masa di mana hanya 19 unit dihantar kepada pelanggan dalam tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini.

Selain dari GT-R R35, satu lagi model Jepun yang sudah berusia hampir satu dekad iaitu Mitsubishi Mirage turut ‘terkorban’ di Australia menerusi undang-undang ADR 85 yang diperkenalkan tersebut.

GALERI: Nissan GT-R R35 T-Spec 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required