ECB-S100HR

Sebelum adanya grafik livery perlumbaan yang berasaskan penaja korporat, kereta-kereta lumba pada era 1900 hingga 1960’an akan tampil dengan warna kebangsaan yang telah ditetapkan – contohnya merah untuk Itali, hijau gelap untuk British dan biru untuk Perancis.

Sebab itulah mengapa sehingga kini Ferrari dan Alfa Romeo sinonim dengan warna merah, Lotus, Jaguar dan Aston Martin bangga dengan warna British Racing Green dan Bugatti begitu ikonik dengan warna Agile Bleu. Bagaimana dengan Jepun? Honda merupakan jenama pertama dari negara Asia berkenaan yang menyertai Formula 1 dengan jentera RA271 pada tahun 1964 – dan mereka memilih warna putih bersama bulat merah yang menandakan “matahari terbit” untuk badan kereta tersebut.

Kalau anda perasan, Toyota juga menggunakan skema warna yang sama ketika berlumba dalam F1 pada musim 2002-2009 (juga digunakan sebagai warna rasmi Gazoo Racing sehingga sekarang), namun untuk Honda warna putih istimewa yang digunakan pada jentera RA271 iru digelar sebagai “Championship White”.

Macam pernah dengar? Ya, inilah warna Championship White yang dijadikan warna hero untuk semua model Type R Honda. Dan istimewa sebagai mengenang sejarah jentera F1 berkenaan, Casio dan Honda memperkenalkan jam tangan edisi khas Casio Edifice ECB-S100HR Honda Racing Championship White Edition.

Jam tangan ini merupakan salah satu produk dalam barisan model kronograf logam berprestasi tinggi Edifice yang menurut Casio dihasilkan dengan konsep “Kelajuan dan Kebijaksaan.” Gegelang luaran ECB-S100HR ini diberikan kemasan warna Championship White, manakala nombor inset dan juga butang menerima serlahan warna merah – seakan latar belakang logo ‘H’ Type R Honda.

Ia turut diberikan cetakan corak bendera perlumbaan disekeliling penutup kaca muka jam tersebut bagi “melambangkan banyak kemenangan yang telah dicatatkan oleh Honda.” Tali jam istimewa ini juga diberikan warna Championship White di atas dan warna merah di bahagian bawah. Set ini juga datang dengan satu lagi tali berwarna hitam.

Jam ini menampilkan teknologi Tough Solar Casio yang boleh menukarkan cahaya kepada kuasa elektrik yang akan disimpan ke dalam bateri. Ia juga diberikan dua lampu LED bagi memudahkan segala maklumat dilihat dalam keadaan gelap. Ia juga boleh dihubungkan kepada telefon pintar melalui Bluetooth, bersama satu aplikasi khas.

Dengan aplikasi berkenaan, waktu yang dipaparkan akan ditetapkan secara automatik, membolehkan pengguna memilih masa dari lebih 300 bandar di seluruh dunia. ECB-S100HR ini juga datang dengan fungsi Time & Place yang mampu merekod tarikh/masa dan posisi semasa pada peta yang ada pada aplikasi dengan hanya menekan butang pada jam, membolehkan pengguna mengetahui di mana posisi semasa mereka.

Jam tangan ini akan mula dijual pada pasaran Jepun bermula 15 Oktober ini pada harga 46,200 yen atau sekitar RM1,750.