BMW iX diperkenalkan di Malaysia Ogos lalu, dan telah menarik lebih daripada 100 tempahan dalam masa hanya seminggu. Dijual pada harga RM419,630 atas jalan tidak termasuk insurans, unit CBU tersebut menawarkan nilai yang menarik, walaupun kita masih perlu menunggu untuk unit awalnya tiba di sini untuk didekati.
Ketika pelancaran antarabangsanya juga, BMW telah memuat naik banyak gambar model terbabit; di lihat di sini dalam dua warna — Mineral White and Sophisto Grey. Kedua-dua unit ini dari spesifikasi xDrive50.
Dalam varian xDrive50 ini, sistem janaannya menampilkan motor elektrik pada setiap gandar untuk pacuan semua roda, dengan output 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 765 Nm tork. Ini membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat dan laju maksimum 200 km/j, sementara bateri lihtium-ion dengan kuasa 105.2 kWh (kapasiti kasar 111.5 kWh) menyediakan jarak 630 km.
xDrive50 belum ditawarkan di Malaysia lagi, tetapi BMW Malaysia memaklumkan varian berkenaan akan dibawa masuk nanti. Ketika ini, pasaran tempatan hanya menerima xDrive40 paling asas, yang turut datang dengan tetapan dua motor, tetapi dengan janaan 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan 630 Nm bagi pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dan laju maksimum yang sama, 200 km/j. Bateri yang digunakan padanya mempunyai kapasiti lebih kecil dengan 71 kWh (kapasiti kasar 76.6 kWh), dengan jarak tersedia 425 km.
Bagi pengecasan, kedua-dua varian menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW menggunakan sambungan Type 2, dengan xDrive40 memerlukan 7.25 jam untuk cas 0-100% SoC, sementara xDrive50 memerlukan 10.75 jam.
Dengan pengecasan pantas DC melalui sambungan CCS2, masa yang diperlukan untuk pengecasan 0-80% SoC jurangnya lebih dekat, dengan xDrive40 memerlukan 31 minit, sementara xDrive50 memerlukan 35 minit. Ini disebabkan kerana xDrive50 mampu mengendalikan pengecas pntas DC 200 kW, sementara xDrive40 hanya mampu mengendalikan 150 kW.
iX yang anda lihat ini juga dilengkapi dengan rekaan luaran Sport Line, yang menjadi sebahagian daripada pakej Sport, pilihan dengan tambahan RM53,000 bagi xDrive40 di sini. Dengannya, iX turut menerima brek sport dengan kaliper biru, lampu dengan rekaan lebih gelap serta rekaan wajah depan dan belakang baru dengan perincian hitam, serta grafik gril krom.
GALERI: BMW iX xDrive50 dalam warna Mineral White
GALERI: BMW iX xDrive50 dalam warna Sophisto Grey
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.