ABB telah melancarkan satu sistem pengecas kenderaan yang dikatakan paling pantas di dunia, dan ia akan mula dijual di Eropah menjelang hujung tahun ini dan di Amerika Syarikat, Amerika Latin serta Asia Pasifik pada tahun hadapan. Sistem ini dipanggil sebagai Terra 360, dan diberitahu dapat memberikan jarak gerak sehingga 100 km selepas dicas selama tiga minit; cas penuh dalam masa 15 minit atau kurang daripada itu.

Tempoh pantas ini dapat dicapai kerana pengecas modular ini mempunyai output maksimum 360 kW, iaitu 60 kW lebih tinggi berbanding rangkaian Supercharger yang akan diperkenalkan oleh Tesla. Sudah tentu, disebabkan tempoh mengecas setiap EV boleh jadi berbeza, tempoh yang dinyatakan oleh ABB ini tidak boleh dipakai untuk semua EV.

Sebagai contoh, Porsche Taycan dengan bateri 93.4 kWh yang besar boleh menerima sehingga 270 kW, tetapi Nissan Leaf pula cuma boleh menerima sehingga 50 kW. Faktor lain seperti pengurusan suhu bateri juga boleh mempengaruhi tempoh mengecas.

“Dengan semakin banyak kerajaan di seluruh dunia mewujudkan polisi yang mengambil berat kenderaan elektrik serta rangkaian pengecas, permintaan untuk infrastruktur mengecas EV, terutamanya stesen pengecas pantas dan mudah diguna adalah tinggi,” kata presiden bahagian e-mobility ABB, Frank Muehlon.

Melihat kepada tetapan yang digunakan, Terra 360 nampak seperti pam minyak biasa yang boleh dijumpai di stesen minyak, dan direka untuk mengecas maksimum sehingga empat kenderaan secara serentak dengan penggunaan pengagih kuasa dinamik.

Berdasarkan gambar yang disediakan oleh ABB, Terra 360 menggunakan penyambung CCS2 biasa, yang merupakan tahap standard di Eropah. Ia juga datang dengan paparan yang boleh menunjukkan proses mengecas, tahap bateri dan tempoh masa yang diperlukan.

Ciri lain yang disediakan adalah seperti akses kerusi roda serta sistem pengurusan kabel ergonomik yang dapat membantu pemandu memasukkan kabel pengecas secara mudah. Sama seperti pam minyak, penampilan Terra 360 juga boleh diubah suai oleh pemilik untuk dijadikan bersesuaian dengan jenama mereka.

Susun atur Terra 360 yang sudah biasa bagi pengguna (sebab sama seperti stesen minyak) menjadikan ia lebih sesuai untuk diletakkan di stesen pengecas, kedai serbaneka atau pusat beli-belah – pemilik EV boleh mengecas kenderaan sementara pergi membeli barang keperluan. Ia juga boleh dipasang di pusat komersial untuk mengecas barisan kenderaan elektrik syarikat.

ABB telah membekalkan pengecas EV sejak tahun 2010, dan sehingga kini, mereka telah menjual lebih 21,000 pengecas pantas DC dan 440,000 pengecas AC di 88 pasaran, termasuk melalui Chargedot. Di Malaysia, anda boleh menjumpai pengecas pantas peblagai tahap Terra 53 CJG di ibu pejabat ABB Malaysia di Jalan Lagoon Selatan, Sunway City, Subang Jaya.