Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

Februari lalu, sayap prestasi Honda Amerika Syarikat iaitu Honda Performance Development (HPD) telah mengumumkan bahawa mereka telah pun mula menjual enjin crate (enjin baharu dalam peti) 2.0L empat-silinder VTEC Turbo K20C1 yang sama dalam perut Civic Type R FK8 kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Apa yang boleh dibuat dengan enjin tersebut? Ini salah satu contoh – pembuat rim terkenal Amerika Syarikat, Fifteen52 bersama salah satu pengedar sah HPD iaitu Montune USA telah menyumbat enjin berkenaan ke dalam sebuah Honda Accord Wagon 1996! Apa yang menarik, Kereta ini diubahsuai bagi menyerupai jentera Kejohanan Touring Car Jepun (JTCC) ‘JACCS Accord’ yang dipandu oleh Naoki Hattori pada tahun 1996, tetapi dalam versi wagon.

Enjin K20C1 tersebut tidak langsung diubahsuai – dari peti, ia terus diletak dalam perut Accord Wagon berkenaan menggunakan set cagak dari Hasport. HPD menjual enjin ini sekali sekali dengan unit alternator, pengecas turbo dan motor penghidup, serta Control Package yang terdiri dari kotak komputer yang dibangunkan HPD, set pendawaian dan juga pedal pendikit. Menurut HPD, secara standard enjin ini menghasilkan kuasa 306 hp dan tork maksima 400 Nm.

Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

Bagi memindahkan kuasa dari enjin ke roda hadapan, Montune turut memadankan kotak gear enam-kelajuan manual Civic Type R, bersama klac prestasi tinggi dari X-Clutch.

Sebelum enjin ini dimasukkan ke dalam Accord tersebut, Montune telah merestorasi semula kerangka wagon ini dan memadankan rollcage yang dibina oleh After Hours Automotive. Suspensi kereta ini turut di bina semula dan kini ia menerima lengan kawalan, tie rod dan set hubungan toe dari Hardrace.

Penyerap hentak boleh laras sepenuhnya Tein Street Advance Z dipadankan pada setiap sudut, dan dilaras cukup rendah bagi membolehkan sebahagian tayar Toyo Proxes RR bersaiz 235/35ZR19 yang membaluti rim aloi Super Touring Podium Fifteen52 19-inci bersembunyi di bawah fender – persis jentera Group A JTCC sebenar.

Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

Kesemua komponen suspensi ini dipadankan pada hab roda yang diambil dari Civic Type R FK8, serta membolehkan set brek Brembo juga dari Type R FK8 dipadankan terus pada Accord Wagon ini.

Kokpit Accord Wagon ini juga turut diubahsuai bagi kelihatan seperti kereta lumba sebenar. Ia diberikan papan pemuka yang dibina semula dari material gentian karbon, kemudian dibekalkan dengan kelengkapan perlumbaan seperti tempat duduk bucket penuh, tali pinggang keselamatan dan roda stereng – kesemuanya dari Sparco.

Pemandu menerima semua parameter kereta ini menerusi paparan instrumen perlumbaan AEM CD-7 Carbon Digital Racing Dash Displays. Turut boleh dilihat dalam kabin Accord ini adalah tangki bahan api perlumbaan Radium Engineering dengan pam bahan api AEM 340lph.

Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

Pada bahagian luaran, Accord Wagon ini diberikan rupa seiras yang mungkin dengan jentera JACCS Accord sebenar. Ia termasuk pemadanan spoiler bawah bampar hadapan, set muka Accord generasi kelima JDM lengkap dengan semua lampu, serta livery perlumbaan yang sama – cuma logo JACCS ditukar kepada logo Fifteen52.

Kereta ini sebenarnya sudah pun siap pada Mei lalu. Namun, Honda Performance Development baru sahaja mengumumkan bahawa ia akan dibawa ke pertunjukan SEMA Show 2021 yang akan berlangsung di Las Vegas Convention Center pada 2 hingga 5 November nanti bagi dipertontonkan kepada orang awam.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required