Toyota Aygo X didedahkan — TNGA Yaris, 940 kg

Toyota Aygo X didedahkan — TNGA Yaris, 940 kg

Toyota Aygo X kini membuat penampilan sulungnya di Eropah, pasaran di mana model kompak crossover ini direka dan dikeluarkan untuk memenuhi permintaan penggunaan di kawasan urban dan suburban di sana. Model ini memanfaatkan Toyota New Global Architecture (TNGA) versi GA-B, yang turut digunakan oleh Yaris dan Yaris Cross.

Diposisikan penawarannya di bawah Yaris, Aygo X mempunyai dimensi ukuran 3,700 mm panjang, 1,740 mm lebar dan 1,510 mm tinggi dengan jarak antara rodanya 2,430 mm. Jejak kelebaran tayar depan dan belakang pula masing-masing 1,540 mm dan 1,520 mm. Suspensinya menggunakan jenis MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang, dengan saiz tayar 175/65R17 atau 175/60R18, bergantung kepada spesifikasi.

Radius pusingan Aygo X ialah 4.7 meter, sesuai dengan tujuan penggunaannya di kawasan bandar yang padat dan sempit. Jarak kelegaan tanahnya pula ialah 11 mm lebih berbanding generasi sebelumnya, begitu juga dengan posisi duduknya yang dinaikkan 55 mm dan tiang A dicondongkan 10% lagi kepada 24 darjah untuk memudahkan lagi penglihatan.

Toyota Aygo X didedahkan — TNGA Yaris, 940 kg

Beratnya adalah antara 940 kg dan 1,015 kg, dengan kapasiti ruang barangan 231 liter dengan kerusi serta pelapik belakang terpasang seperti biasa. Jika diturunkan, ini akan menjadi 829 liter. Pertambahan lebar sebanyak 125 mm membolehkan kerusi depan diberikan jarak tambahan 20 mm, menyediakan tambahan 45 mm ruang bahu.

Hanya satu enjin ditawarkan, unit 1KR-FE 998 cc tiga-silinder sebaris petrol yang menghasilkan 72 hp pada 6,000 rpm dan 93 Nm tork pada 4,400 rpm. Transmisi ada dua pilihan, sama ada CVT dan manual 5-kelajuan. Ini bakal memberikan kadar penggunaan minyak 4.7 l/100 km dan pembebasan CO2
sebanyak 107 g/km.

Ada juga pilihan untuk versi bumbung kanvas, pertama dalam segmennya. Di dalam, Aygo dilengkapi paparan skrin sentuh definisi tinggi sembilan inci menampilkan Toyota Smart Connect dan sambungan ke aplikasi telefon MyT — yang membolehkan capaian untuk meninjau analitik pemanduan, tahap bahan api, amaran serta pengesan kedudukan kenderaan.

Toyota Aygo X didedahkan — TNGA Yaris, 940 kg

Dalam versi kelengkapan lebih tingginya, sistem infotainmen turut menawarkan tunjuk arah berasaskan cloud untuk memberikan kemaskini masa nyata. Kemaskini over-the-air (OTA) akan secara automatik menyediakan perisian dan servis berkaitan yang terbaru, dan tidak lupa Android Auto dan Apple CarPlay dengan wayar dan tanpa wayar.

Aygo X juga akan dilengkapi dengan Toyota Safety Sense di semua pasaran yang bakal menjualnya setakat ini. Ciri yang terkandung adalah sensor kamera monokular, radar gelombang-milimeter, sementara sistem pra-perlanggaran (PCS) dengan pengesanan kenderaan kini berfungsi pada kelajuan lebih tinggi.

Toyota Aygo X didedahkan — TNGA Yaris, 940 kg

Sistem keselamatan aktif yang ada pada Aygo X adalah pengesan pejalan kaki waktu siang dan malam, pengesanan pengayuh waktu siang, sokongan penghindaran perlanggaran, kawalan melayar adaptif pintar, bantuan mengesan lorong dan bantuan stereng kecemasan. Bagi keselamatan pasif, Aygo X menerima pengukuhan struktur untuk serapan impak yang lebih baik.

Dari segi warna, barisan dua-tona warna menghiasi model ini — Cardamom (hijau olive), Chilli (merah), Ginger (beige) dan Juniper (biru) yang digandingkan dengan penyudah perincian hitam. Aygo X dijangka mula dijual di Eropah tahun depan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required