Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun mengeluarkan notis panggilan semula terhadap kereta-kereta yang mungkin terjejas kerana dipadankan dengan modul beg udara Takata. Langkah ini merupakan sebahagian dari panggilan semula global terhadap kenderaan-kenderaan jenama tersebut sama ada dari barisan kereta penumpang dan juga komersil.
Panggilan semula kali ini melibatkan model-model yang diproduksi antara tahun 2004 hingga 2016, secara spesifiknya model A-Class W169, C-Class W203 dan W204, GLK X204, E-Coupe C207 dan Convertible A207, E-Class W212, ML W164 dan GL-Class X164, R-Class W251, SLK W171, dan juga SLS AMG W197.
Pemilik-pemilik model yang dinyatakan di atas digesa agar memeriksa nombor casis (nombor identifikasi kenderaan atau VIN) di laman mikro Mercedes-Benz pada PAUTAN INI atau pusat khidmat pelanggan di talian 1-800-88-1133 bagi memastikan kereta masing-masing terlibat atau tidak dalam panggilan semula ini.
Sekiranya ia disahkan terlibat, pemilik kenderaan berkenaan diminta untuk membuat temu janji di pengedar Mercedes-Benz bertauliah bagi menukar modul beg udara keluaran Takata berkenaan. Segala kos bagi kerja-kerja pembaikan dan juga penukar komponen tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh MBM.
“Mercedes-Benz Malaysia dan Daimler AG ingin memastikan kepada semua pelanggan bahawa semua kenderaan penumpang Mercedes-Bnez yang dikeluarkan pada masa ini tidak lagi dilengkapi dengan beg udara Takata (atau pengeluar lain) yang berasaskan ammonium nitrat sebagai propelan utama,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut hari ini.
“Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan pelanggan dan untuk mendapatkan lebih kefahaman terhadap kondisi modul beg udara dalam kenderaan selepas tempoh yang lama,” tulis kenyataan itu lagi, dan menambah bahawa MBM juga terus mengamalkan ketelusan serta kawalan kualiti yang ketat, kerana keselamatan pelanggan diletakkan sebagai yang paling utama setiap masa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.