Selepas Toyota Corolla Cros GR Sport dilancarkan di Taiwan pada September lalu, kini tibalah pula giliran Thailand menerima crossover tersebut. Ia akan dilancarkan di Thailand International Motor Expo 2021 yang bermula pada 1 Disember ini.
Untuk Thailand, Corolla Cross GR Sport diberikan unit 2ZR-FXE petrol kitaran-Atkinson 98 PS/142 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm dengan kuasa keseluruhan cecah 122 PS yang dipacukan ke roda hadapan menerusi CVT, menurut Headlight Magazine. Taiwan pula menerima satu lagi pilihan enjin iaitu 2ZR-FE 1.8. liter naturally-aspirated petrol dengan kuasa 140 PS dan tork 172 Nm, di mana ia adalah enjin yang sama buat Corolla Cross untuk Malaysia.
Untuk luarannya, Corolla Cross GR Sport menerima bahagian hadapan yang unik berbanding model biasa. Ciri yang ditampilkan termasuklah rekaan bampar yang berbeza dengan pelindung bawah yang lebih menyerlah, sementara lampu kabusnya telah diubah lebih tinggi dan ditempatkan di antara kepingan kemasan hitam.
Corong pengambilan yang lebih rendah juga menerima rekaan berjaring baharu seperti gril utama, dengan kemasah hitam dan palang yang lebih tebal melintangi logo Toyota. Selain itu, rocker panel juga telah direka semula dan pelindung bawah untuk bahagian belakang juga lebih bergaya, dengan kemasan cat dua-tona.
Untuk penjenamannya, lencana GR diletakkan pada tailgate, sementara ruang dalamannya menerima skrin sesentuh sembilan-inci bagi sistem infotainmen, butang penghidup enjin dengan abjad GR, dan tempat duduk yang disulamkan abjad “GR” pada perehat kepala.
Di Taiwan, Toyota Corolla Cross GR Sport untuk versi enjin pembakaran dalaman ditawarkan pada harga 875,000 New Taiwan dollars (RM131,094), sementara bagi model hibrid, ia berharga 945,000 New Taiwan dollars (RM141,581). Sementara di Malaysia, Corolla Cross 2021 menerima dua pilihan kemasan dan satu varian enjin, dan ketika dilancarkan varian 1.8G ditawarkan pada harga RM124,000, dan model tertinggi 1.8V pula berharga RM134,000. Namun harga tersebut disemak semula dan menjadi RM129,266 pada Jun, hasil pelepasan cukai jualan (SST).