Saloon Mega Dragon – kereta sport elektrik 4-pintu dari Great Wall Motors, 550 hp/750 Nm, 0-100 km/j 3.7s!

Saloon Mega Dragon – kereta sport elektrik 4-pintu dari Great Wall Motors, 550 hp/750 Nm, 0-100 km/j 3.7s!

Great Wall Motors (GWM) – jika disebut jenama ini saya teringat akan trak pikap Wingle 5. Ini kerana ia adalah model GWM pertama yang pernah saya pandu ketika jenama China tersebut mula bertapak di Malaysia. Namun sekarang GWM bukan seperti dahulu, ia mempunyai pelbagai jenama di bawahnya seperti Haval (untuk SUV), Ora (untuk kereta elektrik), Wey (divisi mewah) dan pelbagai lagi.

Terbaharu, GWM telahpun memperkenalkan satu lagi sub-jenama baharu di bawahnya iaitu Saloon Auto. Jika Ora dikhususkan untuk kenderaan elektrik (EV), Saloon Auto ini pula divisi yang akan menghasilkan EV dalam segmen premium dengan sasaran pembeli dari golongan muda yang lahir sekitar era 80’an dan 90’an, mungkin akan berhadapan terus dengan Zeekr dari Geely di China.

Sedan dengan bentuk dengan rupa macam kereta perisai ini adalah model pertama dari Saloon Auto, digelar Saloon Mecha Dragon, didedahkan buat pertama kali di Guangzhou Auto Show 2021. Menurut laporan CarNewsChina.com, nama Mecha Dragon ini diambil sempena watak ‘bos penjahat’ dalam permainan video klasik dari Jepun, Mega Man.

Jadi mungkin ini boleh menjawab persoalan anda mengapa sedan ini direka sedemikan rupa – dengan liang udara seakan sirip di atas lampu hadapan, serta badan dengan otot-otot yang bersegi. Unit berwarna hijau yang ditampilkan ini adalah model edisi terhad First Edition, yang hanya dihasilkan sebanyak 101-unit, dan ianya sudahpun habis dijual.

Saloon Mega Dragon – kereta sport elektrik 4-pintu dari Great Wall Motors, 550 hp/750 Nm, 0-100 km/j 3.7s!

Pada bahagian muka, sedan ini menerima muncung yang direka landai ke bawah, dengan lampu seakan supercar seperti Ferrari F40. Ia juga menerima bampar yang seolah-olah diilhamkan dari model-model Lamborghini, serta diberikan skup udara pada penutup but hadapan, walaupun diketahui tiada sebarang enjin yang memerlukan pengambilan udara di bawahnya

Dari sisi dapat dilihat ia direka dengan konsep fastback, yang turut menampilkan bahagian but belakang landai. Elemen-elemen bersegi diberikan pada garis-garis badan, garis tingkap dan juga cermin sisi, manakala kesemua ruang roda diberikan overfender bulat dengan perincian seakan dilekatkan dengan rivet seperti gaya overfender Proton Satria GTI.

Rekaan bersegi turut di bawa ke bahagian belakang dengan lampu yang direka merentangi sepenuhnya bahagian tersebut. Manakala bampar pula menerima kemasan diffuser yang begitu agresif, dan sekali lagi, ada sepasang tip ekzos diletakkan di tengah walaupun diketahui ia tidak mempunyai sebarang enjin pembakaran dalaman.

Saloon Mega Dragon ini menerima dua motor elektrik, satu pada gandar hadapan dan satu lagi di gandar belakang – menjadikan ia model pacuan semua roda – dengan kuasa keseluruhan dihasilkan adalah 550 hp dan tork maksima 750 Nm. Motor-motor berkenaan menerima kuasa elektrik dari pek bateri 115 kWj, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan jarak gerak sejauh 802 km dalam kitaran ujian kenderaan tugas ringan China (CLTC).

Saloon Mega Dragon – kereta sport elektrik 4-pintu dari Great Wall Motors, 550 hp/750 Nm, 0-100 km/j 3.7s!

Sistem elektrikal kereta ini diasaskan dari platform 800V, membolehkan ia menerima caj cepat – jarak 401 km dapat dicapai dengan caj hanya selama 10-minit, dan 545 km sekiranya di caj selama 545 km. Walau bagaimanapun, spesifikasi pengecaj bagi mendapatkan prestasi mengecaj sedemikian tidak dinyatakan.

Bahagian kabin juga menampilkan rekaan yang begitu futuristik, dengan diberikan skrin 27-inci 4K (boleh dibahagikan kepada tiga) yang merentangi hampir keseluruhan papan pemuka, bersama paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci untuk pemandu. Ia turut diberikan sistem audio dari Harman Kardon.

Tiada sebarang tombol dilihat pada konsol terowong kecuali satu suis putar bersama butang lain disekelilingnya yang mungkin berkaitan dengan mod pemanduan. Di belakang, walaupun diberikan tiga set tali pinggang keladar, ia kelihatan hanya selesa untuk membawa dua orang penumpang.

Mega Dragon juga menerima sistem pemanduan berautonomi. Sistem yang digelar Captain-Pilot tersebut beroperasi dengan tujuh kamera UHD, empat kamera pemantau, radar-radar gelombang 5 mm, 12 radar ultrasonic dan juga sebuah unit penentududukan ketepatan tinggi bebas. Sistem ini berfungsi dengan seni bina Da Vinci dari Huawei serta mempunyai kuasa pengkomputeran NPU 400TOPS dan juga kuasa pengkomputeran CPU 440K DMIPS.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required