Mengikuti naik taraf yang diberikan pada Yamaha MT-10 tahun ini, varian prestasi MT-10SP juga diberikan peningkatan. Sudah tentu, semua naik taraf MT-10 diterapkan sama pada MT-10SP, tetapi terdapat penambahan lain yang menjadikannya lebih istimewa.

Paling utama adalah pada bahagian suspensi, di mana MT-10SP menggunakan unit semi aktif daripada Ohlins, yang diambil daripada R1M, dan dipadankan bersama versi perisian terkini. Jurang pelarasan yang lebih besar diberikan pada suspensi ini bersama prestasi lebih baik, hasil daripada penggunaan injap penyerap baru.

Untuk melakukan pelarasan pada fork dan monoshock motosikal ini, pemilik boleh menggunakan menu dalam panel instrumen TFT-LCD 4.2 inci di kokpit, dengan kesemuanya ada enam tetapan. Tiga daripadanya sudah ditetapkan secara asas, iaitu A1 (Sports), A2 (Fast Road) dan A3 (Touring/Comfort) manakala tiga lagi boleh dilaras mengikut kesesuaian pengguna.

Meningkatkan lagi prestasinya adalah hos brek braided, yang kini diberikan secara standard, bersama pam brek atas Brembo. Pelindung bawah enjin MT-10SP ini adalah baru, dengan rekaan yang diambil daripada motosikal lumba Yamaha dan turut dapat melindungi penyejuk minyak.

Sama seperti MT-10 biasa, enjin MT-10SP ini juga dipertingkat dengan connecting rod titanium, conrod baru serta sistem EFI yang ditala semula, seterusnya mampu menghasilkan kuasa 165.5 PS pada 11,500 rpm dan 112 Nm tork pada 9,000 rpm.

Selain daripada itu, penunggang juga dapat menikmati bunyi jentera yang lebih memuaskan kerana Yamaha telah memasang Acoustic Amplifier Grill di tepi tangki untuk menghalakan bunyi kepada penunggang dan ekzos ditukar kepada unit yang diperbuat daripada titanium.