Subaru XV generasi kedua telah pun berada di pasaran agak lama, dilancarkan di pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia pada tahun 2017. Dan baru kini, versi facelift crossover bakal memasuki rantau ini selepas ia didedahkan di peringkat global pada tahun lalu.

Laman web automotif Headlight Magazine melaporkan crossover yang diberikan suntikan lebih segar itu akan diperkenalkan di Thai Motor Expo, yang bakal berlangsung pada 1 hingga 12 Disember ini. Malah dikhabarkan kelengkapan EyeSight juga antara ciri tambahan yang akan diberikan, selepas ia tidak ditampilkan pada model pre-facelift.

XV tersebut juga diberikan kamera stereo yang ditempatkan di atas cermin hadapan, turut dilengkapi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, amaran ketibaan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, kepekaan ketibaan hadapan dan paparan pandangan hadapan cermin utama. EyeSight boleh didapati di pasaran lain sebelum ini (juga pada Forester untuk pasaran Malaysia), tetapi kali ini ia diperkenalkan untuk model facelift bagi XV di rantau Asia.

Selain fungsi keselamatan baharu, XV ini juga diberikan gaya yang lebih estetika dan menarik. Ini termasuklah penampilan bampar hadapan yang disemak semula dengan sudut berbentuk-L, gril baharu dan roda aloi 17-inci dan 18-inci dengan rekaan lebih bergaya. Bukan itu sahaja, material dalaman juga dipertingkatkan dan suspensi juga ditala semula, dengan pilihan warna luaran baharu – Plasma Yellow Pearl.

Dijangkakan penjana kuasanya masih dikekalkan iaitu unit FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder, dengan hamburan output 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga mengekalkan Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua-roda.

Malah dikhabarkan Thailand bakal menerima XV facelift yang dieksport dari Malaysia, yang dipasang di kilang Tan Chong di Segambut, KL – jadi kita juga dijangka akan menerima model facelift yang sama tidak lama lagi.

Pada tahun 2019, Motor Image telah mengesahkan pelanggan di Malaysia bakal menerima EyeSight untuk model facelift. Syarikat terbabit berkata ia mungkin diperkenalkan pada akhir tahun 2020, tetapi disebabkan pandemik COVID-19, sudah tentu perancangan itu tertunda.