Chery eQ1 akan ke Malaysia – kereta elektrik mikro bajet jarak gerak 400 km, akan dijual bawah RM100k?

Chery eQ1 akan ke Malaysia – kereta elektrik mikro bajet jarak gerak 400 km, akan dijual bawah RM100k?

Chery sudah pun mengumumkan bahawa mereka sah kembali ke pasaran Malaysia bermula tahun hadapan. Selain dari menyebut berberapa model SUV yang dalam perancangan untuk dilancarkan di sini serta kemungkinan besar akan ada operasi pemasangan tempatan (CKD), jenama dari China tersebut turut ada menyatakan mereka bakal membawa model elektrik sepenuhnya (EV) yang mungkin akan dijual pada harga lebih rendah dari model-model EV lain.

Ini adalah berikutan pengumuman polisi pengecualian cukai untuk EV yang telah diumumkan oleh kerajaan pada Bajet 2022 dan Chery tidak mahu ketinggalan untuk memanfaatkan insentif berkenaan. Dan calon model untuk di bawa ke Malaysia kelak adalah kereta elektrik mikro, Chery eQ1.

Menurut Chery, mereka berharap dapat memperkenalkan eQ1 ke pasaran Malaysia “secepat yang mungkin”, jadi ia mungkin akan tiba di sini pada awal tahun hadapan. Dalam satu panggilan video bersama paultan.org baru-baru ini, jurucakap jenama berkenaan ada menyebut bahawa Chery memang merancang untuk memperkenalkan kenderaan-kenderaan tenaga baharu apabila kembali semula ke Malaysia.

Chery eQ1 akan ke Malaysia – kereta elektrik mikro bajet jarak gerak 400 km, akan dijual bawah RM100k?

Malah dalam email yang dihantar awal minggu ini, Chery turut menyatakan mereka akan memperkenalkan eQ1 di Malaysia bagi memanfaatkan polisi pengecualian cukai berkenaan.

Sejak ia diperkenalkan, eQ1 telah dikemaskini sebanyak empat kali. Menerusi versi terbaharu, Chery mengatakan bahawa kereta mikro elektrik dua pintu, empat tempat duduk berkenaan telah diberikan 168 peningkatan, dan menampilkan badan alumimium secara keseluruhan.

Versi terkini itu juga dibekalkan dengan motor elektrik 55 kW (74 hp), membolehkan ia memecut dari 0-50 km/j dalam masa bawah lima saat dan mencatatkan kelajuan maksima 120 km/j – 20 km/j lebih laju berbanding model terdahulu yang diberikan motor elektrik 30 kW (40 hp) dan tork maksima 120 Nm.

Chery eQ1 ini juga ditawarkan dengan dua jarak gerak untuk satu cas penuh, iaitu sama ada 301 km dengan bateri lithium-ion 30.6 kWj atau dengan bateri 38 kWj untuk jarak gerak 408 km berdasarkan kitaran NEDC – jarak berkenaan mungkin lebih rendah dalam penggunaan dunia sebenar.

Menurut Chery, sel bateri yang digunakan dibangunkan oleh mereka sendiri menerusi CATL, manakala motor elektrik yang dipadankan pula adalah hasil kerjasama mereka bersama syarikat Jepun, Yaskawa Electric.

Untuk pasaran China, eQ1 menampilkan perincian-perincian seperti fungsi parkir automatik dengan satu butang, kawalan jauh dengan satu butang, operasi pendingin hawa kawalan jauh, skrin LCD definisi tinggi, interaksi suara AI dan juga Baidu Car-Life dengan hubungan Wifi 4G.

Kereta ini dijual pada harga bermula 66,800 yuan (RM44,300) sehingga sekitar 80,000 yuan (RM53,000) dengan subsidi kerajaan di China. Sekiranya ia benar-benar di bawa ke Malaysia, eQ1 ini akan ditawarkan sebagai model yang diimport sepenuhnya (CBU), dan Chery memberitahu bahawa operasi CKD hanya akan melibatkan model-model dengan enjin konvensional.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required