Bugatti Chiron catat kelajuan maksima 417 km/j di Autobahn – pemilik mungkin dipenjara dua tahun

Bugatti Chiron catat kelajuan maksima 417 km/j di Autobahn – pemilik mungkin dipenjara dua tahun

November tahun lalu, seorang jutawan dari Republik Czech iaitu Radim Passer telah memuatnaik video menunjukkan aksinya mencatatkan kelajuan maksima 417 km/j di lebuhraya Autobahn, Jerman dengan hypercar Bugatti Chiron miliknya. Walaupun dia melakukan cubaan berkenaan di kawasan tanpa had laju di lebuhraya tersebut, pihak berkuasa tempatan jelas tidak senang dengan apa yang dilakukan oleh Passer, dan dia mungkin akan dikenakan hukuman penjara selama dua tahun jika didapati bersalah.

Menurut laporan akhbar The Sun UK, Passer melakukan cubaan itu di laluan A2 antara Berlin dan Hanover lebuhraya Autobahn berkenaan dan pihak polis di Saxony-Anhalt telah mengesahkan bahawa fail untuk mendakwa Passer telah pun dihantar ke pendakwa raya.

Walaupun tiada had laju maksima ditetapkan di kawasan tertentu lebuhraya Autobahn, pihak berkuasa tempatan melarang sebarang aktiviti merbahaya termasuk berlumba di laluan tersebut. “Tiada individu lain yang dicederakan, terancam atau dihalang atau menyusahkan lebih daripada yang tidak dapat dielakkan mengikut keadaan” menurut undang-undang yang telah ditetapkan seperti yang dilaporkan oleh The Sun.

Menurut akhbar tersebut lagi, walaupun lebuhraya Autobahn berkenaan tidak mempunyai had laju maksima, semua pengeluar kereta di Jerman perlu mengehadkan kelajuan kereta yang dijual hanya pada 250 km/j untuk tujuan keselamatan dan penjagaan alam sekitar.

Namun menurut Passer pula, dia sentiasa mengutamakan keselamatan dan meninjau dahulu keadaan sama ada selamat atau tidak untuk melakukan percubaan berkenaan, dan ia dibuat pada laluan tiga lorong sejauh enam batu (9.7 km) dengan “penglihatan jelas sepanjang laluan tersebut”.

“Kami bersyukur kepada Tuhan untuk keselamatan dan keadaan yang baik, membolehkan kami mencapai kelajuan berkenaan,” kata Passer.

Ini bukan pertama kali Radim Passer membuat percubaan untuk mencatatkan kelajuan maksima di Autobahn. Percubaan pertamanya dibuat dengan Bugati Veyron pada 2011, diikuti percubaan kedua pada 2012 dan terakhir pada 2015 dengan Veyron berkenaan berjaya mencapai kelajuan 402.5 km/j.

Walau bagaimanapun dengan rekod 417 km/j yang dicatatkan menggunakan Bugatti Chiron berkuasa 1,500 PS dan tork maksima 1,600 Nm tersebut, Passer masih belum dapat mengatasi rekod kelajuan tertinggi yang dicatatkan pada lebuhraya Autobahn berkenaan. Percaya atau tidak, kelajuan tertinggi di Autobahn telah dicatatkan oleh Rudolf Caracciola pada tahun 1938 dengan kelajuan purata 432.7 km/j di laluan A5 antara Frankfurt dan Darmstadt.

Caracciola mencatatkan rekod yang masih bertahan selama 84-tahun tersebut dengan jentera Mercedes-Benz W125 Rekordwagen, iaitu versi ubahsuai jentera lumba single-seater Mercedes-Benz W125. Selain menampilkan badan yang lebih aerodinamik dengan berat hanya 750 kg, Rekordwagen berkenaan turut dijana oleh enjin V12 5.6 liter dengan dua supercharger, menghasilkan 736 PS.

Pada 2019 kerajaan Jerman pernah bercadang untuk menetapkan kelajuan maksima 130 km/j di lebuhraya Autobahn, bukan sahaja untuk tujuan keselamatan, malah bagi mengurangkan pencemaran udara yang disebabkan oleh pengangkutan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required