Koenigsegg Quark – motor elektrik kompak 340 PS/600 Nm, rahsia disebalik kuasa 1,700 hp/3,500 Nm Gemera

Koenigsegg Quark – motor elektrik kompak 340 PS/600 Nm, rahsia disebalik kuasa 1,700 hp/3,500 Nm Gemera

Walaupun bukanlah besar mana dalam industri, pembuat hypercar dari Sweden iaitu Koenigsegg sentiasa hadir dengan teknologi inovatif yang mendahului pesaing-pesaingnya yang lain. Sebelum ini Koenigsegg pernah menunjukkan teknologi injap kepala silinder enjin yang berfungsi tanpa aci sesondol (dipanggil FreeValve) dan kemudian ia muncul pada enjin produksi 2.0 liter tiga-silinder yang digelar Tiny Friendly Giant (TFG) berkuasa 590 hp (600 PS)/600 Nm pada Koenigsegg Gemera.

Secara keseluruhan, Gemera menghasilkan 1,700 hp dan tork maksima 3,500 Nm. Jadi bagi membolehkan Gemera mencapai angka tak masuk akal tersebut, enjin TFG berkenaan sebenarnya digandingkan dengan motor elektrik kompak yang digelar Quark. Seperti juga TFG, Quark dihasilkan sendiri oleh Koenigsegg dan bukan dibangunkan pembekal komponen pihak ketiga.

Setiap satu unit Quark ini dihasilkan dalam saiz yang cukup kompak (Koenigsegg sengaja meletakkan tin minuman 330 ml di sebelah motor tersebut untuk memudahkan anda membuat perbandingan) dan hanya seberat 30 kg (hanya 28.5 kg jika ditolak komponen alihan kuasa lain).

Setiap unit motor elektrik Quark berkenaan mampu menghasilkan kuasa sebesar 340 PS (355 hp) dan tork maksima 600 Nm – Gemera dibekalkan dengan tiga unit Quark untuk digandingkan dengan TFG! Walau bagaimanapun, kuasa maksimum tersebut hanya mampu bertahan selama 20 saat, dan selepas itu setiap unit Quark mampu membekalkan kuasa 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork maksima 249 Nm.

Koenigsegg Quark – motor elektrik kompak 340 PS/600 Nm, rahsia disebalik kuasa 1,700 hp/3,500 Nm Gemera

“Quark direka untuk memperkuatkan pecutan Gemera pada peringkat kelajuan rendah, di mana anda memerlukannya, untuk pecutan yang ganas. Enjin pembakaran dalaman pula kemudian akan fokus kepada peringkat kelajuan tinggi. Bagi prestasi Gemera ini bermaksud lonjakan kuasa yang besar akan diberikan pada permulaan kemudian disambung dengan desakan kelajuan berterusan sehingga 400 km/j tanpa kehilangan sebarang tork mahupun kuasa,” jelas ketua pereka motor elektrik Koenigsegg, Dragos-Mihai Postariu.

Bagi mencapai angka-angka tersebut, Koenigsegg melihat semula fundamental-fundamental magnetisma, material, penyejukan dan pakej, menggabungkan binaan radial dan axial (bagi menghasilkan topologi “raxial flux”) untuk memberikan imbangan yang baik antara kuasa dan tork. Koenigsegg mendakwa, hasilnya mereka kini mempunyai motor elektrik yang mempunyai nisbah tork kepada kuasa kepada nisbah berat terbaik dalam industri.

Ketua pembangunan motor elektrik Koenigsegg, András Székely pula menyatakan bahawa Quark mempunyai syaf yang diperbuat dari logam 300M yang selalunya digunakan dalam sukan permotoran dan aero angkasa, manakala sistem penyejukan terus dipilih bagi disesuaikan rekaannya yang efisien dan kompak.

Manakala rotor motor elektrik ini pula menggunakan teknologi gentian karbon jenis hollow Koenigsegg yang sama seperti mereka hasilkan komponen termasuk rim, roda stereng dan juga tempat duduk.

Koenigsegg Quark – motor elektrik kompak 340 PS/600 Nm, rahsia disebalik kuasa 1,700 hp/3,500 Nm Gemera

Menurut Koenigsegg, Quark bukan hanya boleh digunakan pada kereta (hibird ataupun elektrik sepenuhnya), malah ia turut boleh diaplikasikan pada industri aero angkasa, VTOL (vertical take-off and landing), marin dan banyak lagi.

“Quark adalah unik kerana kadar efisiennya yang tinggi dalam kombinasi dengan matriks tork-kepada-kuasa-kepada-rpm-kepada-berat yang terbaik dalam kelasnya. Ini bermaksud ketika menggunakan Quark dalam aplikasi seperti marin, pesawat atau VTOL, ia tidak memerlukan unit transmisi step-down, dan hanya menggunakan pacuan terus, kerana putaran motor adalah tepat sejak dari mula,” kata pengasas dan CEO syarikat, Christian von Koenigsegg.

Koenigsegg turut menghasilkan Quark dalam konfigurasi lain iaitu Terrier, secara asasnya dua buah Quark yang dihasilkan dalam satu unit bersama unit inverter silikon karbida enam-fasa juga rekaan Koenigsegg, dengan berat hanya 15 kg dan volum hanya 10 liter yang diberi nama David.

Unit inverter David tersebut beroperasi dengan 850 volt dan mampu menyampaikan 1,300 ARMS AC, dengan kuasa 750 kW. Sebanyak dua unit David digunakan dalam Gemera bagi memberikan 12 fasa dan kuasa 1.5 MW.

Koenigsegg Quark – motor elektrik kompak 340 PS/600 Nm, rahsia disebalik kuasa 1,700 hp/3,500 Nm Gemera

Secara keseluruhan Terrier hanya mempunyai berat 85 kg, dan menghasilkan kuasa 680 PS (670 hp atau 500 kW) dan tork maksima 1,100 Nm, serta mempunyai sistem torque vectoring dengan kebolehan mengawal kedua-dua motor secara berasingan.

“Terrier menampilkan teknologi yang melangkaui unit pemacu sedia ada, dengan hanya memerlukan satu inverter (berbanding dua), kerana David yang mempunyai enam-fasa memberikan tiga-fasa pada setiap Quark, membolehkan berat, saiz dan komponen dikurangkan secara drastik. Tambahan pula, dengan pakej Quark yang rata, David boleh diletakkan dengan kemas di tengah antara dua Quark bagi menghasilkan pakej super-tumpat persegi.

“Akhir sekali, kerana Quarks memberikan kuasa dan tork yang besar pada rpm yang berpatutan, hanya set gear planetari kecil bernisbah rendah yang sangat effisien diperlukan untuk setiap output. Pakej yang kompak dan unik membolehkan Terrier dipasang dengan mudah terus ke monocoque atau casis – membolehkan rekaan, kejuruteraan dan akomodasi mewah yang sebelum ini mustahil dapat diterapkan. Ciri ini turut berpotensi untuk menyisihkan aspek kompleks seperti tambahan subframe dan juga berat,” jelas Koenigsegg lagi.

GALERI: Koenigsegg Gemera

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required