Dalam sidang parlimen yang berlangsung minggu ini, menteri kerja raya Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan beberapa perkara berkenaan isu bayaran tol menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID). Sistem tersebut dilihat tidak begitu efisien dan telah menyebabkan kesesakan di plaza tol tertentu, namun mengapa kerajaan masih mahu terus menggunakannya?
Fadillah menjelaskan bahawa RFID merupakan sistem masa hadapan untuk Malaysia, dan ia adalah lebih baik berbanding teknologi infra merah yang digunakan oleh SmartTAG. Menurut laporan Bernama, Fadillah menyatakan bahawa RFID dilihat lebih efektif dari teknologi infra merah.
“Teknologi infra merah yang digunakan pada peranti SmartTAG tidak boleh digunakan untuk implementasi sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), berbanding teknologi RFID yang telah digunakan secara meluas oleh negara-negara membangun yang telah mengimplementasikan sistem kutipan tol tersebut.
“Implementasi teknologi RFID adalah selari dengan sasaran kerajaan bagi memperkenalkan sistem kutipan tol MLFF menggunakan teknologi RFID dan dijangka akan diimplementasikan sepenuhnya menjelang 2025,” katanya dalam Dewan Rakyat kelmarin, bagi menjawab soalan oleh Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.


