Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya mengapa kerajaan memilih untuk menggunakan sistem bayaran tol Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Malaysia untuk masa hadapan, berbanding sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang telah terbukti efisien digunakan oleh negara jiran iaitu Singapura.
Dalam laporan The Star semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan bahawa sistem RFID yang digunakan oleh Touch ‘n Go sekarang ini dipilih kerana ia lebih murah dan tidak membebankan pengguna.
“Teknologi RFID ini merupakan pilihan yang lebih sesuai berbanding teknologi infra merah yang digunakan pada peranti SmartTAG kerana ia menggunakan gelombang radio yang mempunyai had pengesanan yang lebih luas, dalam masa yang sama ia menampilkan kos yang lebih rendah,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa sistem RFID yang ada sekarang ini adalah selari dengan sasaran kementeriannya untuk memperkenalkan tol tanpa palang menerusi sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang dijadualkan akan diimplementasi sepenuhnya pada 2025. Fadillah turut menegaskan bahawa negara-negara maju yang menggunakan sistem MLFF berkenaan turut berasaskan teknologi RFID.
Menteri tersebut turut menyatakan dengan menggunakan sistem tol tanpa palang ERP seperti di Singapura akan menambahkan beban terhadap pengguna di Malaysia. “Disebabkan kekangan kos dan pelaksanaan yang akan membebankan rakyat, sistem ini tidak akan [diperkenalkan] di Malaysia,” jelasnya.
Sistem ERP di Singapura berkenaan sebenarnya turut menggunakan teknologi RFID sebagai asas. Apa yang berbeza adalah ERP menggunakan transponder aktif yang digelar sebagai unit dalam-kenderaan atau IU. Peranti tersebut beroperasi menggunakan kuasa elektrik dari kenderaan itu sendiri membolehkan ia mengesan isyarat dari gantri ERP dengan lebih baik.
Namun peranti IU tersebut bukan murah – ia berharga SGD155.80 (RM480) seunit, dan ia wajib dipasang untuk setiap kereta baharu yang dijual di republik itu. Kos tersebut nyata lebih tinggi berbanding tag pelekat RFID berharga RM35 yang digunakan oleh Touch n’ Go buat masa sekarang.
Singapura bakal beralih menggunakan sistem ERP baharu tahun hadapan yang akan menyisihkan penggunaan gantri RFID, bagi digantikan dengan sistem bayaran berasaskan teknologi GPS. Sistem tersebut juga tidak lagi menggunakan peranti IU, sebaliknya ia akan beroperasi dengan peranti unit on-board (OBU) baharu yang akan diberikan secara percuma.
Sistem berkenaan sepatutnya diimplementasikan lebih awal tetapi terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali. Ia pada awalnya dijadualkan untuk beroperasi pada akhir 2020 hingga akhir 2021 tetapi ditangguh kerana pandemik Covid-19, kemudian ditangguhkan sekali lagi dan dijadualkan akan beroperasi pada separa kedua 2023 kerana krisis bekalan cip semikonduktor global.



