BMW kini pemilik sepenuhnya jenama Alpina

BMW kini pemilik sepenuhnya jenama Alpina

BMW Group mengumumkan bahawa mereka kini memiliki jenama Alpina setelah membeli syarikat pemilik jenama berkenaan iaitu Burkard Bovensiepen GmbH und Co. Alpina sebelum ini sememangnya terkenal sebagai penala bebas yang sentiasa menghasilkan model-model talaan penuh serta berlumba dengan menggunakan asas model-model dari BMW, sejak 1965.

Menurut BMW, dengan adanya jenama Alpina di bawahnya, ia akan “membawa kepelbagaian yang lebih luas kepada rangkaian kereta mewahnya sendiri,” serta menjamin masa hadapan jangka masa panjang jenama Alpina dan syarikatnya.

Menerusi perjanjian korporat jangka masa panjang antara BMW dan Alpina yang sebelum ini yang telah pun dipanjangkan untuk lima tahun lagi pada penghujung 2020, masih akan tamat pada 31 Disember 2025. Kedua-dua syarikat bersetuju untuk tidak mendedahkan apa-apa perincian keawangan.

“Industri automotif kini berada di tengah-tengah transformasi yang meluas ke arah mobiliti mampan. Atas sebab itu, model perniagaan sedia ada perlu dinilai semula secara berkala. Selama lebih 50 tahun, firma Buchloe telah mendemonstrasikan bagaimana untuk membawakan kereta berprestij berkualiti tinggi melalui perhatian yang teliti terhadap perincian. Kumpulan BMW juga didorong oleh keghairahan yang sama terhadap kereta yang dibayangkan imaginasi. Itulah sebabnya kami kini memulakan lembaran baharu dalam perkongsian jangka masa panjang kami,” kata Pieter Nota, ahli lembaga BMW yang bertanggungjawab untuk pelanggan, jenama dan jualan.

BMW kini pemilik sepenuhnya jenama Alpina

“Dengan memiliki tanda dagangan akan membolehkan kami membentuk perjalanan jangka panjang jenama ini yang penuh dengan tradisi. Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan jenama Alpina kepada keluarga BMW,” tambahnya.

BMW menyatakan bahawa transformasi terhadap elektromobiliti dan peningkatan regulasi di seluruh dunia, secara khususnya perundangan emisi, validasi perisian dan keperluan untuk sistem bantuan pemanduan dan pemantuan pemandu, telah menyebabkan syarikat-syarikat pengeluar kecil terpaksa berhadapan dengan risiko yang semakin tinggi. Oleh itu, pihak pengurusan Alpina mengatasi masalah ini dengan “rombakan semula strategik yang akan menjamin kelangsungan jangka masa panjang” operasinya.

“Kami mengenalpasti cabaran yang dihadapi oleh industri automotif awal dan kini kami menetapkan laluan yang betul kepada Alpina dan syarikat keluarga kami, iaitu Bovensiepen. Ini adalah titik permulaan untuk satu episod baharu,” kata Andreas Bovensiepen, pengarah urusan bersama Alpina.

“Jenama Alpina dan syarikat kami kedua-duanya adalah sangat diingini. Jadi kami membuat keputusan yang waras untuk tidak menjual Alpina kepada sembarangan pengeluar, kerana BMW dan Alpina telah bekerjasama dan mempercayai antara satu sama lain untuk tempoh berdekad-dekad. Sebab itu mengapa ini adalah keputusan yang betul secara strategik bagi jenama Alpina untuk diuruskan oleh BMW Group pada masa akan datang,” jelasnya lagi.

Dengan termaktubnya perjanjian baharu ini, kerjasama antara BMW dan Alpina masih akan diteruskan tetapi dalam bentuk yang berbeza. Alpina masih akan terus menggunakan kepakaran mereka dalam pembangunan, pembuatan dan menjual model-model BMW Alpina mengikut perjanjian yang masih berjalan sehingga akhir 2025.

Alpina bukan penala seperti kebanyakkan penala lain, kerana ia diklasifikasikan sebagai pengeluar. Ini kerana setiap model-model Alpina akan dipra-pasang di kilang BMW terlebih dahulu, dan kemudian dihantar ke fasiliti Alpina yang terletak berhampiran Buchloe dan kemudian menerima modifikasi yang ekstensif, termasuk pada bahagian enjin dan transmisi, casis, aerodinamik dan bahagian dalaman, sebelum dijual sebagai sebuah model “BMW Alpina”.

Perniagaan servis, komponen dan aksesori bagi model-model BMW Alpina sedia ada akan diteruskan di lokasi Buchloe dalam masa yang panjang. Tiada sebarang perubahan terhadap pengurusan selepas jualan sedia ada. Sebagai sebahagian dari kerjasama strategik kedua-dua syarikat, akan ada pengembangan yang akan dibuat pada perniagaan pembangunan servis sedia untuk BMW diluar Buchloe. Namun perniagaan minuman keras Alpina tidak termasuk dalam perjanjian baharu dengan BMW ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required