Ora Good Cat EV 2022 di M’sia – pemanduan sebelah kanan; bakal jadi kereta elektrik paling mampu milik?

Ora Good Cat EV 2022 di M’sia – pemanduan sebelah kanan; bakal jadi kereta elektrik paling mampu milik?

Kereta elektrik comel dari Ora (divisi elektrik sepenuhnya dari jenama China, Great Wall Motors atau GWM) iaitu Good Cat telahpun beberapa kali dilihat diuji di Malaysia sejak 2021. Malah model berkenaan telah dipertontonkan pada Disember tahun lalu di majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030, dan dikhabarkan bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun ini.

Namun kesemua unit berkenaan adalah dari versi pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dihasilkan untuk pasaran domestik China. Tetapi apa yang anda lihat pada galeri yang kami bawakan ini, ia adalah unit sebenar Ora Good Cat dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD).

Kereta berkenaan kini berada di ibu pejabat pengedar jenama GWM dan sub jenama SUVnya iaitu Haval di Malaysia, Go Auto yang terletak di Glenmarie, Shah Alam. Ia adalah unit yang serupa dengan Ora Good Cat RHD yang ditemui sedang dicas menggunakan pengecas DC di Vision Motorsport semalam.

Ora Good Cat EV 2022 di M’sia – pemanduan sebelah kanan; bakal jadi kereta elektrik paling mampu milik?

Ora Good Cat versi RHD ini sebenarnya telahpun dijual di Thailand, dilancarkan di negara berkenaan pada November tahun lalu. Menurut pengarah eksekutif Go Auto Datuk SM Azli Nasimuddin, Ora Good Cat dijangka bakal dilancarkan pada pasaran Malaysia pada bulan hadapan.

Menurut beliau lagi, kesemua tiga varian Good Cat iaitu Tech, Pro, Ultra yang dijual di Thailand bakal ditawarkan di Malaysia, dan unit yang dipaparkan ini adalah dari varian Ultra. Beliau turut menyatakan bahawa harga untuk kesemua model tersebut masih belum dimuktamadkan, tetapi mereka mahu agar harga jualannya di Malaysia nanti adalah hampir dengan harga di Thailand.

Mac lalu, harga untuk kesemua varian Ora Good Cat di Thailand telah dikemaskini mengikut kadar insentif EV baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan negara berkenaan. Model asas Tech kini dijual pada harga 828,500 baht (RM105,350), lebih rendah dari harga asal sebelum itu iaitu 989,000 baht (RM125,700).

Ora Good Cat EV 2022 di M’sia – pemanduan sebelah kanan; bakal jadi kereta elektrik paling mampu milik?

Varian pertengahan Pro pula kini dijual pada harga 898,500 baht (RM114,250), 15.1% lebih murah dari harga jualan 1.059 juta baht (RM134,600) sebelum insentif. Manakala varian tertinggi Ultra pula dijual pada harga 1.0385 juta baht (RM132,000), turun dari harga asal 1.199 juta baht (RM152,400). Jika angka-angka ini diambil sebagai rujukan, Ora Good Cat mungkin akan menjadi kereta elektrik paling mampu milik pada pasaran Malaysia kelak.

Bagi Good Cat varian Tech dan Pro, ia menerima bateri lithium-logam fosfat berkapasiti 47.8-kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 400 km (ujian kitaran NEDC). Bateri tersebut membekalkan kuasa kepada hanya satu motor elektrik yang diletakkan di hadapan dan memacu roda hadapan berkuasa 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan tork 210 Nm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 152 km/j.

Manakala untuk varian Ultra, ia diberikan bateri kapasiti lebih besar 63.1 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 500 km dengan satu cas penuh (juga, kitaran ujian NEDC). Namun model tertinggi ini masih menerima motor elektrik 143 PS/210 Nm yang sama.

Kesemua varian Ora Good Cat ini menyokong pengecas AC 6.6 kW menerusi sambungan Type 2. Ia juga boleh dicas dengan pengecas pantas DC sehingga 60 kW menggunakan penyambung CCS2, membolehkan cas 0-80% dipenuhkan dalam masa hanya 45 minit untuk varian Tech dan Pro, dan sekitar sejam untuk varian Ultra.

Menurut Azli lagi, syarikatnya telah melakukan ujian dengan membawa Ora Good Cat ini untuk di cas di pengecas-pengecas DC awam dan setakat ini masih belum ada sebarang isu yang timbul. Beliau turut menambah bahawa setiap unit Good Cat yang dijual di Malaysia kelak akan didatangkan sekali dengan pengecas rumah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required