Renault Zoe 2022 diperkenal dengan jarak gerak EV 395 km, bateri 52 kWh, kuasa 109 PS dan 136 Nm

Renault Zoe 2022 diperkenal dengan jarak gerak EV 395 km, bateri 52 kWh, kuasa 109 PS dan 136 Nm

Renault Zoe sudah berada di pasaran agak lama, dengan pengenalan pertamanya pada tahun 2012, dan pernah dijual di Malaysia sejak tahun 2016. Menurut pengeluar Perancis itu, sehingga Mei 2022, sebanyak 380,000 unit Zoe telah berjaya dijual dan ia adalah kereta elektrik paling laku di Eropah.

Bagi mengekalkan momentum itu, tahun ini Zoe telah dipertingkat, dengan tiga varian baru ditawarkan dan semuanya masih mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 52 kWh seperti model facelift tahun 2019, bersama pilihan tetapan dua motor elektrik.

Varian pertama adalah R110, yang menyediakan kuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 225 Nm tork, dengan jarak gerak 395 km mengikut ujian WLTP. Sementara itu, varian R135 pula menjana kuasa yang lebih tinggi, iaitu 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 245 Nm, tetapi jarak geraknya berkurang sedikit menjadi 386 km. Dua motor elektrik pada varian ini menggerakkan roda hadapan.

Melihat kepada kelengkapan, varian asas dipanggil sebagai Equilibre dan ia datang dengan pengecas AC 22 kW yang mengambil masa tiga jam untuk memenuhkan baterinya menggunakan pengecas bersesuaian. Di Perancis, varian ini dijual pada harga 27,700 euro (RM128,273), termasuk cukai dan insentif kerajaan.

Barangan standard lain yang diberikan adalah seperti empat beg udara, Advanced Emergency Braking System (AEBS), cruise control, sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin, pendingin hawa kawalan manual, empat pembesar suara, rim besi 15 inci, balutan fabrik, panel instrumen TFT 10 inci, serta skrin sesentuh tujuh inci untuk sistem infotainmen bersama sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

Varian lebih tinggi daripada itu adalah Evolution, dijual pada harga 29,800 euro (RM137,982), dan menerima tambahan sistem pengenalan tanda jalan, amaran keluar lorong dan bantuan kekal lorong, pendingin hawa automatik, fungsi pencegahan lebih laju, rim aloi 16 inci, roda stereng PET, panel pintu balutan bahan lembut dan tempat duduk balutan fabrik kitar semula.

Varian paling mahal adalah Iconic, berharga 30,900 euro (RM143,127). Ia menerima kelengkapan sama seperti Evolution, tetapi ditambah lagi dengan lampu tinggi automatik, pemerhati titik buta, skrin sesentuh 9.3 inci untuk sistem infotainmen, cermin sisi boleh lipat, cermin pandang belakang malap sendiri, tingkap bukaan kuasa, soket USB di belakang, kamera undur, pengesan jarak hadapan, fungsi parkir automatik, pengecas Qi tanpa wayar, rim 17 inci, cermin belakang gelap dan jalur pelekat warna emas di luar.

Pilihan lain yang disediakan adalah seperti sistem pengecas DC 50 kW (20-80% dalam masa 50 minit) untuk semua varian, rim rekaan Seidon 16 inci (Iconic), sistem pembesar suara premium Bose dan varian yang lebih rendah juga boleh menambah barangan daripada varian lebih tinggi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required