Kalau kita berbicara berkenaan pasaran trak pikap di Amerika Syarikat, sudah tentu akan terbayang trak-trak bersaiz besar seperti Ford F-150 dan juga Chevrolet Silverado bukan? Namun realitinya, ada satu segmen trak pikap yang sedang dilihat sedang meningkat naik di sana buat masa sekarang iaitu trak kompak.
Dua pesaing utama dalam segmen ini di negara berkenaan adalah Hyundai Santa Cruz dan juga Ford Maverick – kedua-dua trak ini bukan diasaskan dari casis ladder frame, tetapi berkongsi platform dengan SUV, menampilkan casis unibody dengan enjin diletakkan secara melintang bagi memacu roda hadapan secara primari, serta menampilkan saiz lebih kecil berbanding trak pikap yang biasa dilihat di Malaysia seperti Toyota Hilux dan Ford Ranger.
Melihat kepada perkembangan ini, Toyota nampaknya ‘tak boleh tahan’ untuk turut masuk ke segmen yang sama, bagi melengkapkan penawaran trak pikap mereka di pasaran berkenaan yang kini diwakili oleh model-model besar seperti Toyota Tundra dan Tacoma.
“Salah satu ruang yang kami sedang lihat – yang bukan sekadar jangka masa pendek – adalah di mana halatuju trak pikap kompak. Anda ada Santa Cruz dan Meverick dalam pasaran, dan agak menarik untuk melihat Scout (jenama trak pikap kompak dari VW). Hari ini kami mempunyai pasaran yang baik telah diliputi oleh Tacoma, tetapi [pikap kompak] adalah kemungkinan dan sesuatu yang perlu untuk terus diperhatikan,” kata naib presiden eksekutif jualan Toyota North America, Bob Carter kepada Motortrend.
Carter turut menyatakan bahawa Toyota mungkin tiada model-model baharu untuk 2023, jadi trak pikap kompak berkenaan mungkin akan membuat kemunculannya pada 2024 atau 2025.
Menurut naib presiden kumpulan perancangan produk dan strategi Toyota North America, Cooper Ericksen pula, trak pikap kompak berkenaan boleh sahaja dihasilkan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang kini menjadi asas kepada model-model terkini Toyota dari hatchback kompak Toyota Yaris, sedan Toyota Camry sehingga ke SUV seperti RAV4.
“Jika ada pelanggan yang mahukan kenderaan yang lasak, dengan badan-di atas-kerangka yang lebih kecil, kami boleh pertimbangkan perkara itu, tetapi jika ia lebih untuk kegunaan dalam bandar dan kurang untuk laluan off-road yang ekstrem, jadi agak logik untuk menggunakan platform unibody TNGA,” kata Cooper.
Trak pikap kompak Toyota ini berkemungkinan akan menggunakan platform TNGA yang sama dengan SUV RAV4. Jadi ia mungkin akan turut berkongsi barisan enjin, transmisi dan juga sistem pacuan semua roda yang sama seperti SUV berkenaan. Malah ia juga berpotensi untuk menerima sistem rangkaian kuasa hibrid dan juga plug-in hybrid (PHEV).
Hyundai Santa Cruz dihasilkan dari platform M3 yang sama seperti Hyundai Tucson, dan turut berkongsi pilihan enjin 2.5 liter petrol NA dan turbo seperti SUV tersebut. Manakala Ford Maverick pula diasaskan dari Ford Escape/Kuga, dan kini turut ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid yang sama seperti model SUV berkenaan.
Anda rasa macam mana? Boleh terima sekiranya Toyota menghasilkan trak pikap yang lebih kecil dari Hilux serta casis yang tak jauh beza dari Toyota Corolla?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.