Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

Mac lalu, sayap perlumbaan Mitsubishi iaitu Mitsubishi Ralliart telah mendedahkan jentera rali Triton yang akan digunakan dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022, menandakan bahawa mereka akan berlumba semula secara rasmi selepas jenama Ralliart ‘dihidupkan’ semula tahun lalu.

Dan sekarang, spesifikasi untuk Triton AXCR tersebut telah pun didedahkan, dan ia dilihat melalui ujian ketahanan di Thailand pada 27 hingga 28 Jun lalu, sebelum perlumbaan sebenar yang bakal berlangsung pada November 2022.

Menurut Mitsubishi, Triton yang diasaskan dari badan double cab pasaran Thailand ini dibangunkan dengan spesifikasi kereta rali Group T1 FIA (kenderaan prototaip cross-country), dan masih mengekalkan banyak kelengkapan asal model produksi sebenar.

Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

Ia masih dijana oleh enjin 4N15 2.4 liter empat silinder MIVEC turbodiesel, dan masih menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm sama seperti Triton di bilik pameran. Walaupun angka kuasa berkenaan dilihat sama, sebenarnya enjin berkenaan telah diolah semula oleh HKS, dengan pemadanan komponen yang lebih ringan serta kurang geseran bagi memberikan respon lebih baik pada takat rpm pertengahan yang selalu digunakan dalam perlumbaan rali.

Trak pikap ini juga masih dibekalkan dengan kotak gear manual enam kelajuan, bersama sistem pacuan empat roda Super Select 4WD II. Ubahsuai lain yang dibuat pada sistem penghantaran kuasa Triton rali ini termasuk penggunaan unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang.

Konfigurasi asal suspensi double wishbone dengan spring gegelung di hadapan dan gandar hidup bersama spring dedaun di belakang masih kekal, tetapi ia kini menerima set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan.

Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

Brek trak pikap rali ini juga dipertingkat dengan dilengkapkan cakera berliang di hadapan dan belakang bersama angkup empat omboh, kesemuanya dibekalkan oleh Endless. Manakala untuk roda, ia menerima set rim aluminium aloi dari Work bersaiz 17-inci x 8J bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003 bersaiz 265/70R17.

Badan Triton ini juga diringankan lagi dengan pemadanan hud penutup enjin dan juga kesemua pintu yang diperbuat dari material gentian karbon. Ia juga menerima kelengkapan tipikal sebuah jentera rali cross country termasuk set roll cage lengkap dengan tempat duduk perlumbaan, set snorkel untuk ‘menyelam’ menyeberangi sungai, serta dua set roda gantian yang diletakkan pada bed belakang.

Pasukan Mitsubishi Ralliart untuk AXCR ini diuruskan oleh pasukan persendirian iaitu Tant Sports dari Thailand, tetapi lagenda Mitsubishi sendiri – juara Rali Dakar dua kali (2002 dan 2003) dengan Pajero – Hiroshi Masuoka telah dilantik sebagai pengarah pasukan.

Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.

Ujian kali ini dibuat di litar rali sejauh 10-km di Thailand, yang menggandingkan laluan kelajuan tinggi, permukaan gravel yang lasak serta jalan sempit dan berliku di dalam hutan, menyerupai laluan sebenar AXCR nanti. Sasaran ujian ini adalah untuk menguji tahap ketahanan casis dan juga enjin jentera rali Triton tersebut.

“Memandangkan Triton mempunyai kerangka casis yang tahan lasak dan pretasi pengendalian yang cemerlang, kami mengambil keputusan untuk mengurangkan berat kenderaan pada kadar minimum untuk modifikasi rali dalam masa yang sama menggunakan kelebihan kekuatan asalnya sebanyak yang boleh,” kata Masuoka.

“Selepas meredah laluan lebih dari 800 km dalam masa dua hari, kereta rali ini menampilkan prestasi yang hebat sepanjang ujian ketahanan yang sukar ini seperti yang kami jangka, dan sekarang kami yakin bahawa persediaan kami adalah pada laluan yang betul,” tambahnya lagi.

Rali ini dilangsungkan secara tahunan bermula pada 1996, dan turut pernah menampilkan laluan merentas negara seperti Singapura, Malaysia, Kemboja, Vietnam, Myanmar sehingga ke China. Namun ia dihentikan sementara pada tahun 2020 kerana pandemik Covid-19, dan bakal diadakan semula pada tahun ini.

Untuk AXCR 2022, ia akan berlangsung bermula 21 hingga 26 November nanti, bermula di Buriram, timur laut Thailand dan kemudian merentas sempadan Kemboja. Perlumbaan sejauh 1,700 km berkenaan akan menyaksikan kesemua peserta perlu berhadapan laluan di kawasan pergunungan, hutan, jalan berlumpur, menyeberang sungai, kawasan berpasir, dan juga litar lumba, berakhir di tapak Warisan Dunia, Angkor Wat yang terletak di Kemboja.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required