Di China, selain dari Honda CR-V, pasaran berkenaan turut menerima satu lagi SUV segmen-C iaitu Honda Breeze. Kedua-dua model berkenaan sebenarnya adalah kembar dengan muka dan beberapa perincian lain yang berbeza, di mana CR-V dipasang dan dijual oleh Dongfeng Honda, manakala Breeze pula dihasilkan dan diedarkan oleh Guangzhou Honda (atau GAC Honda).

Honda CR-V generasi keenam sudahpun diperkenalkan untuk peringkat global Julai lalu di Amerika Syarikat, tetapi imej model berkenaan sebenarnya telah didedahkan oleh kementerian industri dan teknologi maklumat China (MIIT) pada bulan Mei. Dan kini giliran Honda Breeze generasi baharu pula didedahkan, dan dijadualkan akan mula dijual pada suku keempat tahun ini.

Sama seperti konsep asalnya, Breeze baharu ini menerima muka yang berlainan dari CR-V, menampilkan gril atas berbeza yang jauh lebih kecil. Namun ia digantikan dengan liang udara tengah yang lebih besar pada bampar, diapit oleh liang udara sisi berbentuk-C. Breeze seolah-olah diberikan rupanya yang lebih urban dan kurang lasak berbanding CR-V kerana tidak diberikan kemasan skid plate, manakala pelindung badan bawah pintunya lebih nampak seperti skirt sisi yang labuh.

Di belakang, Breeze diberikan lampu melintang sepenuhnya tanpa bahagian berlampu pada kiri dan kanan cermin belakang. Kluster lampu pada pintu tailgate belakang pula dihubungkan menerusi kemasan berwarna hitam dengan logo Honda di tengahnya, manakala kedudukan perumah nombor pendaftaran masih sama.

Manakala pada bampar, Breeze diberikan reflektor yang direka condong berbanding melintang sepenuhnya pada CR-V, manakala perumah tip ekzos segi empat berkembar pada bahagian bawah masih kekal. Bampar belakang Breeze ini juga menampilkan warna badan sepenuhnya, tanpa sebarang kemasan plastik yang tidak disembur cat.

Menurut media di China, Breeze menampilkan dimensi lebar 1,866 mm, tinggi 1,691 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm yang sama dengan CR-V. Tetapi dengan rekaan bampar yang berlainan, panjang keseluruhan Breeze diukur pada 4,716 mm atau 22 mm lebih panjang dari CR-V. Tiada sebarang imej sebelah dalam kabin Breeze berkenaan disiarkan setakat ini.

Menurut laporan yang sama, berdasarkan lencana “240 Turbo” yang ditampal pada Breeze ini, berkemungkinan ia dijana oleh enjin 1.5 liter berkuasa 193 PS (190 hp), dipadankan dengan kotak gear CVT automatik bagi memacu roda hadapan atau semua roda bergantung pada varian. Ia juga mungkin akan ditawarkan dalam versi plug-in hybrid (PHEV) sama seperti model generasi sebelumnya.

GALERI: Honda CR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat