Mazda CX-3 2022 pasaran Malaysia dapat tambahan varian 1.5L dan 2.0L Core, harga dari RM107,870

Mazda CX-3 2022 pasaran Malaysia dapat tambahan varian 1.5L dan 2.0L Core, harga dari RM107,870

Bulan lepas, kami mengeluarkan laporan Mazda CX-3 akan mendapat dua tambahan varian, menjadikan kesemuanya ada tiga, berdasarkan senarai harga yang diberikan oleh seorang pembaca. Sehingga sekarang ia masih belum dilancarkan, tetapi perincian harga dan spesifikasinya sudah ada di dalam laman web Mazda Malaysia.

Sebelum pergi lebih lanjut, mari kita imbas kembali sejarah CX-3 di Malaysia. SUV segmen B ini dilancarkan kali pertama di negara kita pada Disember 2015, dan sejak itu ia hanya dijual dalam satu varian sahaja, termasuklah versi yang dipertingkat pada tahun 2017, facelift 2018, serta dua lagi peningkatan pada tahun 2021 dan Mac lalu.

Sekarang dua varian tambahan yang diperkenalkan adalah 1.5G 2WD Core dan 2.0G 2WD Core, dengan kedua-duanya duduk di bawah varian 2.0G 2WD High sedia ada. Satu lagi perkara penting adalah CX-3 sekarang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, bermula bagi model tahun 2022, sementara sebelum ini di dibawa masuk dari Jepun.

Bermula dengan 1.5G 2WD Core, varian asas ini dijual pada harga RM107,870 tidak termasuk insurans dan dipacu oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter Skyactiv-G yang berkemampuan 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,000 rpm.

Varian pertengahan 2.0G 2WD Core (RM118,159) mendapat enjin sama seperti 2.0G 2WD High (RM131,359), iaitu unit Skyactiv-G 2.0 liter, yang mampu menghasilkan kuasa 154 hp pada 6,000 rpm dan tork 206 Nm pada 2,800 rpm. Semua enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik Skyactiv-Drive enam kelajuan dan menghantar kuasa kepada roda hadapan.

Dua varian Core baru ini mempunyai senarai kelengkapan yang hampir sama, dengan satu-satunya perkara yang membuatkan harganya berbeza RM10,289 adalah kapasiti enjin. Apapun, kedua-duanya masih lebih murah berbanding varian High, dengan senarai kelengkapan yang berbeza.

Mazda CX-3 2022 pasaran Malaysia dapat tambahan varian 1.5L dan 2.0L Core, harga dari RM107,870

Sebagai contoh, varian Core cuma menggunakan rim 16 inci dengan tayar 215/60, berbanding 18 inci dengan tayar 215/50 pada varian High. Dua varian baru ini juga hanya menggunakan lampu jenis halogen, dan bukannya LED, dan tidak mempunyai fungsi pengaktifan dan pelarasan automatik.

Begitu juga dengan lampu DRL serta lampu belakang, di mana varian Core ini menggunakan mentol biasa, bukannya LED, dan ia tidak mempunyai lampu kabus LED. Bahagian lain yang kekurangan adalah pengelap cermin automatik, cermin sisi boleh lipat sendiri serta pengesan jarak.

Masuk ke dalam, varian Core tidak mendapat head-up display, pedal penukar gear di seterng, pengecas Qi tanpa wayar dan tempat duduk larasan kuasa seperti varian High. Pendingin hawa juga merupakan unit manual dan bukannya automatik satu zon seperti varian High, sementara tempat duduk pula hanya dibalut dengan fabrik.

Walaubagaimanapun, masih ada beberapa kelengkapan yang sama antara varian Core dan High. Ini termasuk cermin sisi larasan kuasa, sistem masuk dan mula tanpa kunci, brek parkir elektronik, roda stereng pelbagai fungsi, cruise control, panel instrumen TFT LCD 4.6 inci, mod Sport, sistem start/stop serta G-Vectoring Control (GVC).

Sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin sesentuh lapan inci juga masih diberi, bersama enam pembesar suara serta sistem sokongan untuk sambungan Android Auto dan Apple CarPlay – tetapi perlu menggunakan wayar dan bukannya wireless seperti varian High. Kamera undur datang secara standard tetapi tiada pandangan 360 darjah.

Semasa naik taraf yang diberikan pada tahun 2021, varian High mendapat beberapa sistem bantuan pemandu termasuk Smart City Brake Support hadapan dan belakang (Autonomous Emergency Braking), Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Monitoring, High Beam Control serta Driver Attention Alert.

Mazda CX-3 2022 pasaran Malaysia dapat tambahan varian 1.5L dan 2.0L Core, harga dari RM107,870

Semua sistem ini tiada pada varian Core, tetapi sistem pasif masih sama iaitu ABS, EBD, Dynamic Stability Control, Traction Control, Hill Launch Assist, Brake Auto Hold serta cagak ISOFIX. Jumlah beg udara dikurangkan dari enam, kepada dua untuk varian Core.

Setiap pembelian model ini datang dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km, serta pakej penyelenggaraan percuma. Pilihan tambahan filem penapis cahaya Activ-e pada harga RM1,900 juga disediakan untuk semua varian.

GALERI: Mazda CX-3 1.5G 2WD Core 2022

GALERI: Mazda CX-3 2.0G 2WD Core 2022

GALERI: Mazda CX-3 2.0G 2WD High 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required