Kalau anda berminat dengan kereta-kereta elektrik comel seperti Honda e, Mini Cooper SE atau Ora Good Cat, ini satu lagi model yang mungkin anda boleh pertimbangkan – Fiat 500 Electric.

Seperti yang kita tahu, Fiat sudah lama tidak mempunyai wakil jualan rasmi di Malaysia. Tetapi untuk tiga unit Fiat 500 Electric yang anda lihat ini sebenarnya dibawa oleh pengimport persendirian iaitu Hamza Motors, dengan bilik pameran yang terletak di Kampung Sungai Penchala.

Dua model Fiat 500 Electric di bawa oleh Hamza Motors; unit merah dan hitam yang anda lihat ini adalah dari versi hatchback dalam kemasan (RED) Editon, manakala unit yang berwarna putih adalah model Cabrio (bumbung fabrik boleh buka) dalam kemasan Icon. Ia dijual pada harga RM250,000 untuk hatchback (RED) Edition dan RM255,000 untuk Cabrio Icon.

Fiat 500 generasi terkini ini (dikenali sebagai New 500) mula membuat kemunculan sulung pada 2020. Model ini dibangunkan memang sebagai kenderaan elektrik (EV) sejati tanpa varian yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman, dikilangkan di kampung halamannya iaitu Turin, Itali.

Namun Fiat masih memproduksi Fiat 500 generasi sebelumnya di kilang mereka yang terletak di Poland, dijual untuk mereka yang masih mahukan “Fiat Kerang” ini dalam versi yang menggunakan bahan api fosil. Berbanding model generasi sebelumnya, New 500 adalah 60 mm lebih panjang dengan jarak roda 20 mm lebih jauh, serta lebih lebar.

Ia menerima motor elektrik tunggal yang diletakkan di hadapan, berkuasa 118 hp (87 kW) membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9 saat. Fiat 500 Electric ini sebenarnya direka khas untuk pemanduan dalam bandar, dan menurut Fiat ia mampu memecut 0-50 km/j hanya dalam 3.1 saat, serta turut menampilkan pemanduan menggunakan hanya satu pedal.

Tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Range dan Sherpa. Bagi mod Sherpa, ia adalah mod yang direka bagi memanjangkan jarak gerak dengan mematikan sistem pendingin hawa serta mengehadkan kelajuan hanya sehingga 80 km/j. Nama “Sherpa” berkenaan adalah sempena nama suku kaum di pergunungan Himalaya yang berkemahiran mendaki gunung dan sering menjadi pengiring, pemandu arah, pembawa barang dan sebagainya untuk pendaki gunung.

Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion 42 kWj, memberikan jarak gerak 320 km berdasarkan kitaran WLTP. Sebagai perbandingan, Honda e dengan bateri 35.5 kWj memberikan jarak gerak sejauh 220 km, manakala Mini Cooper SE dengan bateri 28.9 kWj pula menampilkan jarak gerak 232 km.

Untuk mengecas, bateri 42 kWj berkenaan mampu menangani pengecas pantas DC sehingga 85 kW. Menurut Fiat, dengan pengecas pantas DC, bateri tersebut mampu untuk dipenuhkan sehingga 80% dalam masa hanya 35 minit, dan anda boleh mendapat jarak gerak 50 km dengan mengecas selama lima minit.

Bagi model hatchback (RED) Edition, ia sebenarnya model yang dihasilkan dengan kerjasama dana global (RED) untuk membantu memerangi krisis kesihatan seperti AIDS dan Covid-19. Selain dari Fiat ini, kerjasama berkenaan turut menyaksikan produk-produk (RED) yang lain seperti (RED) iPhone dan sebagainya. Jadi setiap pembelian model-model (RED) Edition ini akan memanfaatkan dana global tersebut.

Fiat 500 Electric (RED) Edition ini menampilkan perincian luaran seperti logo (RED) pada jalur tingkap sebelah belakang, kemasan merah pada logo hadapan dan belakang, serta logo merah pada penutup rim 16-inci. Bagi unit (RED) yang berwarna hitam, turut dapat dilihat ia menerima penutup cermin sisi dengan kemasan merah.

Manakala dalam kabin, ia diberikan logo 500 (RED) pada roda stereng dan tempat duduk fabrik (bersama monogram Fiat), serta serlahan merah pada jalur tempat duduk, papan pemuka dan karpet kaki. Ia juga menerima tempat duduk yang diperbuat dari Seaqual Marine Plastic, iaitu bahan bahan mentah yang diperbuat daripada bahan buangan laut.

Fiat 500 (RED) Edition ini diperkenalkan ketika pandemik Covid-19, jadi ia menerima penuras udara, fabrik tempat duduk, kulit balutan roda stereng dan karpet ruang but yang menerima rawatan bahan biosid dengan tindakan yang sangat berkesan terhadap bakteria, virus dan kulat.

Malah ia juga ditawarkan dengan ciri opsyen “sanitising glove box”, tetapi ia tidak ditampilkan pada unit yang dibawa masuk ini. Fungsi tersebut memberikan lampu UV-C pada glove box, membolehkan barang-barang kecil anda seperti telefon pintar, kunci dan sebagainya di sanitasi di dalam ruang berkenaan.

Beralih pada model Cabrio, sekali tengok ia seakan sama dengan model hatchback. Namun untuk model ini, bumbung logam diganti dengan bumbung fabrik yang boleh dilipat dengan kuasa elektrik. Tiada cermin belakang dan pintu hatch pada model ini, kerana ia menjadi sebahagian dari bahagian fabrik yang boleh dilipat, manakala ruang but menerima penutup tersendiri yang lebih kecil.

Cabrio yang dibawa masuk ini adalah dari varian kemasan Icon. Jadi ia datang dengan perincian seperti rim 16-inci, tempat duduk Seaqual Marine Plastic fabrik dengan melange pinstripe dan juga papan pemuka dengan kemasan sama seperti warna badan.

Ketiga-tiga unit yang dibawa ini juga menampilkan skrin infotainmen 10.25-inci, butang pembuka pintu dari dalam elektrik (turut diberikan pembuka manual di bawah) serta tidak diberikan lampu hadapan LED.

Menurut Hamza Motors lagi, ketiga-tiga unit Fiat 500 e merupakan unit-unit pertama yang mendarat di Malaysia. Jadi sesuai betul untuk mereka yang mahukan kelainan!

GALERI: Fiat 500 e (RED) Edition

GALERI: Fiat 500 e Cabrio Icon