Honda CR-V 2023 telah pun didedahkan kepada dunia Julai lalu, untuk pasaran Amerika Syarikat (AS). Jika anda jenis yang lebih gemar menonton video berbanding membaca, ini dia video perincian yang dikeluarkan Honda Amerika Syarikat.

Meskipun ini adalah model pasaran AS, kita masih boleh menjadikannya sebagai rujukan untuk model yang bakal tiba di negara kita nanti. SUV ini sudah pun dilihat membuat ujian di Thailand, dengan pelancaran dijangka berlaku tahun hadapan, tetapi untuk Malaysia kita mungkin perlu menunggu lebih lama.

Untuk saiz, CR-V baru ini berukuran 4,694 mm panjang (+69 mm), 1,864 mm lebar (+10 mm) dan 1,681 mm tinggi (-8 mm), sementara jarak rodanya pula bertambah panjang 40 mm menjadi 2,700 mm.

Bagi pasaran AS, CR-V baru ini ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo ataupun hibrid 2.0 liter. Bagi enjin 1.5 liter turbo itu, ia dipadankan bersama transmisi CVT, mampu menghasilkan 190 hp pada 6,000 rpm dan 243 Nm tork pada 1,700 hingga 5,000 rpm, manakala enjin hibrid 2.0 liter itu pula dipadankan bersama transmisi e-CVT serta dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 204 hp dan 335 Nm.