Honda Accord 2023 – teaser model generasi ke-11 disiar, serba baharu, didedah sepenuhnya Nov ini

Honda Accord 2023 – <em>teaser</em> model generasi ke-11 disiar, serba baharu, didedah sepenuhnya Nov ini

Honda telah menyiarkan imej teaser rasmi pertama untuk Honda Accord generasi ke-11, yang bakal didedahkan sepenuhnya pada bulan November nanti. Model ini bakal menggantikan model generasi ke-10 yang telahpun diperkenalkan sejak 2017, dan menerima facelift pada 2020.

Honda mendedahkan beberapa bahagian penting pada Accord 2023 ini, termasuk bahagian muka, belakang, skrin infotainmen dan sedikit rupa pada papan pemuka. Dapat dilihat, muka dan bahagian belakang yang didedahkan berkenaan adalah seiras dengan imej paten Accord 2023 yang tersebar sebelum ini.

Tiada lagi rekaan Solid Wing pada model generasi ke-11 ini, dan ia menerima gril hadapan besar berbentuk heksagon, seakan mendapat inspirasi dari gril model-model Acura yang lebih mewah. Gril berkenaan diapit dengan lampu hadapan yang tirus, dan turut menampilkan jalur lampu nyalaan siang LED. Apron hadapan ini dilengkapkan dengan kemasan liang ambilan udara sebelah bawah yang direka lebar merentangi keseluruhan bampar.

Honda Accord 2023 – <em>teaser</em> model generasi ke-11 disiar, serba baharu, didedah sepenuhnya Nov ini

Di belakang, tiada lagi lampu berbentuk ‘stapler’ seperti model sedia ada, dan ia digantikan dengan rekaan lampu nipis yang lebih ringkas bersama bar yang merentangi penutup but, memberikan ‘perisa’ sebuah sedan Eropah. Berdasarkan imej paten tempoh hari, Accord generasi ke-11 ini masih diberikan bentuk badan ala-fastback.

Beberapa perincian ringkas didedahkan bersama imej-imej teaser ini. Antaranya Honda menyatakan bahawa Accord ini diberikan skrin sesentuh bersaiz 12.3-inci – paling besar pernah ditawarkan pada sebuah Honda – dan ia dihubungkan kepada sistem infotainmen yang berintegrasi dengan servis-servis terhubung Google.

Perkara ini sebenarnya telah dilaporkan sebelum ini di mana pada September lalu Honda telah mengesahkan bahawa ia akan menggunakan OS Android Automotive yang dibangunkan oleh Google untuk model-model baharunya. Antara servis-servis yang dijangka terkandung dalam sistem berkenaan termasuk Google Assistant, Google Maps dan aplikasi dalam-kenderaan lain seperti apa yang ditawarkan oleh Volvo.

Selain dari skrin, bahagian konsol tengah Accord 2023 ini juga sedikit terdedah. Ia nampaknya diberikan rekaan ringkas dan menampilkan liang penghawa dingin yang nipis dan lebar, mungkin merentangi sepenuhnya papan pemuka seperti Civic. Tiada lagi kawalan penghawa dingin digital menerusi skrin, dan ia sudah diganti semula dengan suis-suis putar analog yang lebih mudah digunakan.

Bagi pasaran Amerika Syarikat, varian Touring untuk Accord 2023 ini boleh dipilih dalam versi Hybrid. Untuk Accord Touring Hybrid sebelum ini, ia menerima unit rangkaian kuasa menggandingkan enjin petrol 2.0 liter kitaran Atkinson, transmisi E-CVT dan juga motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 212 hp/315 Nm. Model generasi baharu ini mungkin menerima padanan yang sama tetapi lebih diperhalusi.

Perincian lebih lanjut bakal kita ketahui apabila Honda mendedahkan sepenuhnya Accord generasi ke-11 ini bulan depan. Buat masa sekarang bagaimana? Anda rasa Accord ini lebih handsome dari model generasi ke-10 atau sebaliknya?

GALERI: Imej paten Honda Accord 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required