Ferrari 499P Hypercar bawa Ferrari kembali ke Le Mans 24 Jam, WEC; V6 3.0L Twin Turbo Hybrid, 680 PS

Ferrari 499P Hypercar bawa Ferrari kembali ke Le Mans 24 Jam, WEC; V6 3.0L Twin Turbo Hybrid, 680 PS

Selepas tewas kepada Ford dalam perlumbaan Le Mans 24 Jam dengan Ferrari 330 P3 pada tahun 1966 (seperti yang boleh anda tonton dalam filem Ford V Ferrari), Ferrari tidak pernah lagi menang dalam perlumbaan ketahanan berkenaan dan kemudian menarik diri dari perlumbaan tersebut pada 1973.

Dan kini selepas 50 tahun, Ferrari memperkenalkan jentera lumba 499P yang bakal berlumba dalam kategori tertinggi prototaip (kini menggunakan undang-undang Hypercar) FIA World Endurance Championship (WEC) termasuk pusingan Le Mans 24 Jam bermula tahun hadapan! Ini adalah jentera lumba endurance pertama yang dibina Ferrari selepas jentera terakhir Ferrari 312 P yang mula digunakan pada perlumbaan Sebring 12 Jam dan Le Mans 24 Jam 1969.

Jentera ini dihasilkan mengikut spesifikasi teknikal Le Mans Hypercar yang ditetapkan oleh FIA – digerakkkan dengan unit rangkaian kuasa menggandingkan enjin V6 3.0 liter turbo berkembar bersama sistem hibrid elektrik yang menghasilkan kuasa 680 PS (500 kW), dengan berat keseluruhan tidak melebihi 1,030 kg.

Ferrari 499P Hypercar bawa Ferrari kembali ke Le Mans 24 Jam, WEC; V6 3.0L Twin Turbo Hybrid, 680 PS

Enjin turbo berkembar berkenaan diletakkan pada sub-casis di bahagian tengah badan kereta dan memacu roda belakang bersama kotak gear sequential tujuh-kelajuan. Menurut Ferrari, enjin tersebut diasaskan dari enjin V6 turbo berkembar Ferrari yang sama dengan jentera lumba 296 GT3, serta turut digunakan pada kereta produksi jalan raya biasa, dan diubahsuai bagi mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh FIA untuk kelas Hypercar.

Manakala untuk sistem hibrid elektrik yang digelar sebagai Energy Recovery System (ERS), motor elektrik berkuasa 272 PS (200 kW) yang dibekalkan diletak pada gandar hadapan, bersama unit differential untuk memacu roda hadapan, menjadikan ia sebuah kereta lumba pacuan semua roda. Motor berkenaan turut berfungsi untuk mengecas semula pek bateri 900v yang dibekalkan ketika nyah pecut dan membrek.

Ferrari menyatakan bahawa teknologi pek bateri yang digunakan pada kereta lumba Hypercar ini dihasilkan dari pengalamannya dalam Formula 1 yang kini turut menggunakan sistem hibrid elektrik. Manakala bagi menghasilkan kuasa elektrik dari tenaga kinetik semasa membrek, sistem brek kereta lumba 499P ini menggunakan teknologi brake-by-wire.

Ferrari 499P Hypercar bawa Ferrari kembali ke Le Mans 24 Jam, WEC; V6 3.0L Twin Turbo Hybrid, 680 PS

Ferrari 499P diasaskan dari casis monocoque gentian karbon serba baharu. Ferrari mendakwa bahawa geometri untuk sistem suspensi double wishbone dan juga penyerap hentak jenis pushrod yang digunakan membolehkan jentera lumba berkenaan mengambil selekoh dengan laju, manakala sistem elektronik yang digunakan dibangunkan dari pengalamannya dalam perlumbaan GT.

Rekaan kereta lumba 499P ini diperhalusi oleh Ferrari Styling Centre di bawah pengawasan pengarah rekaan Ferrari sendiri iaitu Flavio Manzoni. Aliran udara yang merentasi kedua-dua belah pod sisi kereta lumba ini di bawa untuk menyejukkan radiator yang terletak di bawah badan. Rekaan lingkungan roda pada jentera ini pula dibuat bagi mengurangkan tekanan di dalam ruang roda berkenaan.

Muka kereta lumba ini termasuk jalur lampu LED dan lampu utama pula menampilkan elemen rekaan seperti model jalan raya edisi terhad Daytona SP3. Manakala pada bahagian belakang, ia mendedahkan banyak komponen gentian karbon seperti penutup enjin serta sayap dan diffuser belakang. Komponen mekanikal pada bahagian suspensi dan juga roda juga sengaja dibiarkan terdedah.

Ferrari 499P Hypercar bawa Ferrari kembali ke Le Mans 24 Jam, WEC; V6 3.0L Twin Turbo Hybrid, 680 PS

Spoiler gergasi yang dipadankan pada 499P ini menampilkan dua sayap utama; sayap paling atas berfungsi memberikan downforce untuk mencapai prestasi maksima, manakala sayap bawah yang turut diberikan jalur LED memberikan rupa yang lebih mantap untuk kereta lumba ini. Liang-liang udara lain yang terdapat pada sebelah belakang ini pula berfungsi membekalkan udara kepada enjin serta menyejukkan pelbagai komponen termasuk bateri untuk sistem hibrid dan juga kotak gear.

Ferrari bakal berkerjasama dengan AF Corse untuk berlumba dalam WEC 2023 dan kereta lumba 499P ini bakal membuat kemunculan sulungnya di pusingan pertama WEC 2023 iaitu di perlumbaan Sebring 1000 Miles pada bulan Mac tahun hadapan.

Livery perlumbaan merah-kuning pada jentera ini adalah sempena untuk memperingati jentera 312 P pada 1970, dan nombor perlumbaan 50 dan 51 yang digunakan adalah sempena kali terakhir pasukan dari Itali tersebut menyertai perlumbaan prototaip endurance 50-tahun lalu. Sebelum ini Ferrari telah berjaya merangkul sebanyak 20 kemenangan dalam perlumbaan endurance, sembilan daripadanya adalah juara keseluruhan di Le Mans 24 Jam.

Dari 2018 hingga tahun ini, siri WEC dan perlumbaan Le Mans 24 Jam didominasi sepenuhnya oleh Toyota selepas dua pencabar utama dalam kategori tertinggi perlumbaan tersebut menarik diri; Audi pada 2016, diikuti Porsche pada 2017. Namun untuk musim 2023, persaingan dalam kategoti Hypercar ini dilihat menarik kerana bukan sahaja ia disertai semula oleh Ferrari dan Porsche, malah turut akan menampilkan pasukan Peugeot dan Cadillac.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required