Replika Proton Saga R3 VIP – jelmaan semula hasil kerja Proton R3 dalam “My Proton Makeover” 2011

Replika Proton Saga R3 VIP – jelmaan semula hasil kerja Proton R3 dalam “My Proton Makeover” 2011

Jangan tak tahu, lebih 10-tahun lalu Proton pernah menerbitkan rancangan ala-Pimp My Ride dan Overhaulin’, di mana syarikat tersebut memilih beberapa pemilik Proton lama yang bertuah untuk menerima restorasi penuh tanpa sebarang bayaran dalam program “My Proton Makeover” untuk Very Important Proton (VIP).

Kerja-kerja restorasi berkenaan bukan dibuat oleh calang-calang orang; segalanya diuruskan oleh pasukan lumba Proton R3 di fasiliti mereka di Shah Alam, ketika itu ia dipimpin oleh Prince of Drift, Tengku Djan Ley sebagai ketua kejuruteraan. Antara yang bertuah terpilih dalam rancangan ini adalah Fadly Hisham Roplay, seorang pemilik Proton Saga generasi pertama yang telah menambat hati juri dengan cerita yang begitu sentimental antara dirinya dengan Saga tersebut.

Dan hasil restorasi serta ubahsuai yang dibuat oleh pasukan R3 terhadap Saga Fadly berkenaan adalah antara yang paling diingati berbanding peserta-peserta lain yang terpilih dalam program My Proton Makeover itu.

Malangnya pada 2016, Saga R3 VIP tersebut telah dilaporkan dicuri di Taman Tun Teja, Rawang, Selangor. Dan ia terus lenyap sehingga kini tanpa khabar berita. Namun tahun lalu, tular bahawa sebuah Saga Megavalve dengan rupa sama seperti Saga R3 VIP milik Fadly telah muncul di media sosial – adakah kereta tersebut telah dijumpai semula?

Tidak tuan-tuan. Kerana berkenaan sebenarnya milik Devan Gunaseelan dari Ipoh, dan dia telah merestorasi semula Proton Saga miliknya dengan tema replika Saga R3 VIP! Devan memiliki Proton Saga ini sejak tahun 2009, dibeli sebagai kenderaannya hariannya ketika masih menuntut di universiti. Malah kereta ini terus digunakan setelah dia mula bekerja kerana kos penyelengaraannya yang murah.

Namun setelah Devan mula memiliki pelbagai kereta lain, Saga ini kurang digunakan. Kalau anda nak tahu, Devan juga sebenarnya adalah salah seorang pemilik 19-unit Proton Satria Neo R3 Lotus Racing yang dipercayai masih wujud di Malaysia. Dengan memiliki model yang sangat rare tersebut telah mendorong Devan untuk mencari pelbagai komponen asli R3 untuk disimpan sebagai alat ganti, sekaligus memberikannya akses untuk membina jaringan terus dengan pasukan R3 itu sendiri.

Replika Proton Saga R3 VIP – jelmaan semula hasil kerja Proton R3 dalam “My Proton Makeover” 2011

Selepas lebih 10-tahun memiliki Saga tersebut, Devan mengambil keputusan untuk membuat restorasi penuh terhadap kereta itu (sebelum itu ia pernah direstorasi tetapi tidak secara menyeluruh). Dan memandangkan dia sudahpun mempunyai beberapa komponen asli R3, termasuk tombol gear R3 yang sama seperti tombol gear pada Saga Fadly, Devan nekad untuk menghasilkan replika Saga R3 VIP berkenaan sebagai tema restomod pada keretanya, mengenepikan tema Saga Cup MSF yang difikirkan sebelum itu.

Seperti biasa, kerja-kerja restorasi dimulakan pada bahagian badan dengan membuang segala simen dan karat. Devan turut berjaya mendapatkan beberapa stok lama panel badan baru (NOS) asli seperti kedua-dua fender hadapan dan juga pintu hadapan sebelah kiri, serta komponen-komponen yang diambil dari Saga LMST yang dihentikan produksi pada 2008.

Badan Saga ini kemudiannya dilayangkan dengan warna kelabu yang sama seperti Saga VIP Fadly selepas Devan berjaya mendapatkan kod warna sebenar dari kru R3 yang terlibat dalam program My Proton Makeover tersebut. Perincian-perincian yang sama turut diberikan termasuk spoiler dagu ‘sodok’ dengan rekaan seperti lips Mitsubishi Lancer Fiore C12/Galant Super Touring, skirt sisi Saga LMST, dan juga spoiler but belakang Saga Iswara.

Menurut Devan, dia memilih spoiler Iswara berkenaan yang diperbuat dari gentian kaca dan dipasang hanya menggunakan pita pelekat, berbanding spoiler asli yang diperbuat dari bahan seperti getah (boleh memerangkap air) dan dipasang dengan menebuk lubang pada penutup but bagi mengelakkan karat di kemudian hari.

Kedua-dua unit lampu hadapan Saga ini juga adalah komponen asli NOS, manakala lampu belakang menggunakan komponen aftermarket untuk Saga Iswara dengan lensa jernih yang seiras dengan Saga VIP R3 Fadly. Untuk pengetahuan anda, sekiranya anda pasang lampu belakang Iswara ke badan Saga, lampu berkenaan sebenarnya akan ‘tersembul’ keluar – sebab itulah kru R3 membuat panel bawah lampu custom bagi disesuaikan dengan lampu tersebut, dan perkara yang sama telah dibuat oleh Devan pada Saganya.

Kemasan plastik melintang pada gril hadapan tidak lagi digunakan, dan digantikan dengan jaring serta diberikan lencana R3 merah. Pelekat ‘VIP’ dilekat pada kedua-dua fender hadapan dan juga pada penutup but belakang. Jalur merah pada bahagian tengah sisi badan Saga VIP Fadly dahulu dibuat menggunakan cat dengan teknik pinstripe, manakala pada Saga Devan ini dibuat dengan pelekat dengan material dari 3M.

Replika Proton Saga R3 VIP – jelmaan semula hasil kerja Proton R3 dalam “My Proton Makeover” 2011

Malah kesemua pelekat pada badan Saga ini termasuk grafik VIP dan juga kemasan gentian karbon palsu pada kerangka tingkat adalah menggunakan material dari 3M. Cermin sisi pada Saga ini diganti dengan cermin sisi Fiore C12 sama seperti Saga VIP asli.

Devan turut menggunakan rim 16-inci R3 yang sama seperti digunakan Saga Fadly (diambil dari Satria Neo R3) yang dibeli baharu, serta dibalut dengan tayar Continental ContiPremium Contact 2 bersaiz 195/50R16, iaitu tayar yang paling hampir dengan tayar Continental SportContact-1 pada Saga VIP R3 asli yang kini tidak lagi dijual.

Saga ini menerima set penyerap hentak boleh laras dari FTuned Suspension yang bukan sahaja merendahkan badannya, malah memberikan pengendalian lebih baik. Devan masih menggunakan sistem brek asal, cuma cakeranya ditukar kepada cakera yang ditebuk tetapi masih mengekalkan diameter asal.

Replika Proton Saga R3 VIP – jelmaan semula hasil kerja Proton R3 dalam “My Proton Makeover” 2011

Enjin Saga ini telah dirombak rawat semula, tanpa sebarang ubahsuai yang dibuat. Devan hanya menggantikan pulley aci engkol dan aci sesondol dari Arospeed yang lebih ringan, bersama rocker cover dan lencana ‘Tuned by R3’ yang berjaya dibeli baharu. Seperti yang anda boleh lihat, pelbagai lagi komponen baharu dapat dilihat pada ruang enjin Saga ini termasuk tangki tambahan untuk cecair penyejuk enjin.

Ia juga menerima ‘stokin’ R3 untuk melindungi takung minyak brek dan minyak stereng berkuasa, manakala bahan penebat bunyi yang dilekat pada penutup bonet adalah aksesori asli dari Eon Tech. Sistem ekzos juga masih asli tetapi muffler belakang asal telah digantikan dengan muffler dari Matola.

Berbeza dengan penampilan luaran, kabin Saga replika VIP R3 ini dihasilkan mengikut ‘selera’ Devan sendiri. Pada Saga VIP Fadly, pasukan R3 menggantikan hampir keseluruhan komponen dalaman menggunakan komponen dari Saga LMST, termasuk papan pemuka, panel pintu, tempat duduk, dan lain-lain.

Namun pada Saga Devan, papan pemuka asli Saganya masih dikekalkan kerana dia lebih suka gaya klasik papan pemuka tersebut. Tambahan pula dia risau dengan material papan pemuka LMST yang mungkin akan bermasalah dengan lebih cepat jika dibiarkan berjemur di bawah matahari, berbanding material pada papan pemuka asli Saga yang terbukti lebih tahan lama.

Devan turut memadankan sepasang tempat duduk Recara Njoy pada sebelah hadapan, dan semua tali pinggang keledar asal berwarna hitam digantikan dengan merah yang nampak padan dengan jalur merah pada sebelah luar.

Satu lagi perkara menarik pada Saga Devan ini adalah bumbung suria yang dipadankan, dan ini tidak diberikan pada Saga Fadly. Bumbung suria berkenaan adalah aksesori asli untuk Proton Saga yang dieksport ke UK, dibekalkan oleh pembuat bumbung suria dari Jerman iaitu Webasto.

Untuk pengetahuan anda, bumbung suria yang dipadankan pada Saga eksport pada era 80’an dan 90’an dahulu bukan dipasang di kilang Proton di Shah Alam, sebaliknya hanya dipasang di UK setelah pembeli bersetuju untuk memadankan aksesori yang ditawarkan sebagai ciri opsyen tersebut.

Devan memasang bumbung suria ini hanya selepas kerja-kerja restorasi lain siap, termasuk cat badan – sebagai aksesori asli, ia dapat dipadankan dengan sempurna tanpa merosakkan cat dan lain-lain panel. Bumbung suria tersebut juga diperolehi secara lengkap; ia masih lagi mempunyai pelindung matahari yang boleh dibuka/tutup, dan ia boleh berfungsi dalam tiga langkah berbeza. Malah ia boleh tertutup sendiri sekiranya suis enjin dimatikan sepenuhnya!

Walau bagaimanapun, ada juga komponen dalaman Saga Devan ini yang masih sama dengan Saga Fadly, antaranya panel-panel pintu dari Saga LMST bersama tombol kunci aluminium billet R3, tombol gear R3, karpet kaki R3 dan roda stereng Momo Tuner yang dibeli baharu. Juga Devan memperolehi set pedal aluminium dari R3.

Buat anda yang tertanya-tanya sama ada pelekat ‘Anti-Karat’ Eon Tech pada pintu Saga ini adalah pelekat asli atau tidak, ia sebenarnya adalah pelekat yang dibuat semula. Tetapi pelekat tekanan tayar di atasnya masih lagi pelekat asli. Manakala kesemua cermin tingkap Saga ini telah pun ditukar menggunakan cermin cromax dari Mitsubishi Lancer Fiore.

Tiada sistem hiburan canggih diberi pada Saga ini, di mana Devan masih menggunakan pemain audio utama Sony Xplod yang telah digunakan sejak sekian lama, bersama sepasang tweeter pada sisi papan pemuka dan dua pembesar suara Blaupunkt di belakang. Devan turut memadankan sistem penggera asli Proton pada Saga ini yang datang lengkap dengan kunci kawalan jauh original.

Jadi bagi mereka yang sebelum ini berteka-teki adakah Saga R3 Fadly telah dijumpai semula, inilah dia jawapannya – ia masih hilang dan Saga R3 VIP yang mungkin anda lihat baru-baru ini di atas jalan raya atau di acara seperti Art of Speed adalah replika milik Devan.

GALERI: Replika Proton Saga R3 VIP milik Devan Gunaseelan

GALERI: Proton Saga VIP sebenar milik Fadly Hisham Roplay yang dihasilkan oleh Proton R3

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required