Nissan Z Veilside FFZ400 – jentera baru watak Han untuk filem Fast & Furious, di bawa ke TAS 2023

Nissan Z Veilside FFZ400 – jentera baru watak Han untuk filem Fast & Furious, di bawa ke TAS 2023

Watak Han lakonan Sung Kang dalam saga filem Fast & Furious sinonim dengan Mazda RX7 FD3S dengan kit badan lebar talaan Veilside yang dikenali sebagai Veilside Fortune RX-7. Untuk filem F&F seterusnya, Han sekali lagi bakal muncul dengan jentera talaan Veilside, kali ini diasaskan dari Nissan Z generasi baharu dan diberi nama Veilside FFZ400.

Kereta berkenaan sudah pun siap dan bakal dibawa untuk dipamerkan kepada orang awam di Tokyo Auto Salon 2023 yang akan berlangsung di Makuhari Messe bermula 13 hingga 15 Januari ini. Selain Veilside sendiri, Sung Kang turut memuat naik gambar FFZ400 ini di akaun Instagram rasminya dan menggelar kereta ini sebagai “Han’s 400Z”.

Tidak seperti Fortune RX-7 yang menenggelamkan terus rupa asal RX-7, FFZ400 ini masih mengekalkan rupa asal Nissan Z 2023. Namun ia masih lagi diberikan kit badan lebih lebar yang meliputi bampar hadapan, fender hadapan dan belakang, skirt sisi, bampar belakang dan juga spoiler belakang.

Bampar hadapan FFZ400 ini masih mengekalkan gril asal Nissan Z, tetapi ia bukan sahaja dilebarkan, malah turut ‘dilabuhkan’ bagi memberikan apron lebih agresif. Ia juga diberikan kemasan seperti pengalir udara pada setiap sisi. Bentuk-V pada bonet hadapan ditonjolkan lagi dengan kemasan sekeliling berwarna hitam ‘mengalir’ ke tiang-A, bersama grafik “Veilside” di tengahnya.

Fender hadapan yang dikembangkan turut diberikan liang udara pada bahagian atas, manakala fender belakang dicantum dengan menyerlahkan skru/rivet. Spoiler belakang direka seakan spoiler ‘ekor itik’ yang besar tetapi diberikan sirip sebagai penamat kedua-dua sisi.

Badan FFZ400 ini dilayangkan dengan warna oren-hitam sama seperti Fortune RX-7 dalam Fast & Furious:Tokyo Drift dan juga Toyota GR Supra dalam Fast 9 juga dipandu oleh Han. Rupa kereta ini dilengkapkan dengan pemadanan set rim Veilside Andrew Forged berdiameter 20-inci yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza. Badannya dirapatkan ke permukaan jalan menerusi pemadanan set suspensi udara.

Nissan Z Veilside FFZ400 – jentera baru watak Han untuk filem Fast & Furious, di bawa ke TAS 2023

Untuk bahagian kabin, Veilside hanya mendedahkan tempat duduk asal Nissan Z ini telah digantikan dengan sepasang tempat duduk bucket. Manakala di belakang boleh dilihat ia dipenuhi dengan tangki dan sistem paip untuk suspensi udara.

Veilside tidak memperincikan ubahsuai enjin yang dibuat terhadap FFZ400 ini, namun mengesahkan ia masih dijana oleh enjin asal VR30DDTT. Enjin 3.0 liter V6 dengan pengecas turbo berkembar tersebut mampu menghasilkan 400 hp dan tork maksima 475 Nm dalam keadaan standard.

Menurut Veilside, FFZ400 ini akan muncul dalam filem Fast & Furious yang ditayangkan pada 2024. Memandangkan filem terbaharu F&F iaitu Fast X sebelum ini telah diumum bakal ditayangkan pada bulan Mei tahun ini, FFZ400 ini mungkin akan muncul dalam filem ke-11 yang juga filem terakhir dalam franchaise Fast & Furious.

Bagi yang belum mengetahui, Sung Kang juga merupakan peminat untuk model-model kereta sport Z Nissan, khususnya model generasi pertama Datsun 240Z. Setakat ini Sung Kang mempunyai dua buah projek 240Z yang dibuat sendiri iaitu Fugu Z dengan enjin RB26 dan juga Doc Z yang diinspirasikan dari jentera rali Datsun 240Z yang memenangi East African Safari Rally 1971.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required