Teknologi hibrid elektrik bakal jadikan kereta WRC Rally1 lebih laju di Rally Mexico 2023 minggu ini

Teknologi hibrid elektrik bakal jadikan kereta WRC Rally1 lebih laju di Rally Mexico 2023 minggu ini

Seperti yang diketahui, Kejohanan Rali Dunia (WRC) kini sudah pun mula menggunakan teknologi hibrid elektrik menerusi kategori Rally1 sebagai kelas tertinggi menggantikan kategori WRCar bermula musim tahun lalu. Jentera baharu ini menggandingkan enjin 1.6 liter turbo dari WRCar berkuasa sekitar 380 hp bersama motor elektrik bagi memberikan kuasa tambahan 134 hp, menjadikan kuasa keseluruhannya berjumlah 520 hp.

Walau bagaimanapun keseluruhan kuasa tersebut tidak dapat digunakan sepanjang masa. Ia hanya berfungsi apabila cukup kuasa elektrik dicas semula menggunakan sistem pemulihan tenaga dan memberikan tujahan boost elektrik selama beberapa saat ketika memecut.

Tambahan pula dengan kotak gear sequential enam-kelajuan bersama pedal penukar gear tidak lagi boleh digunakan dan digantikan dengan kotak gear lima-kelajuan sequential hanya dengan tuil tangan, berat keseluruhan bertambah 70 kg, kesan aerodinamik yang perlu dikurangkan 15% berbanding sebelum ini, tiada lagi unit differential tengah dan strok penyerap hentak juga dikurangkan, prestasi jentera Rally1 ini dilihat masih setara berbanding jentera WRCar sebelumnya.

Namun untuk Rally Mexico yang bakal berlangsung hujung minggu ini iaitu bermula 16 hingga 19 Mac nanti, teknologi hibrid ini mungkin akan menyaksikan jentera Rally1 bakal mencatatkan masa yang lebih pantas berbanding jentera WRCar sebelum ini.

Teknologi hibrid elektrik bakal jadikan kereta WRC Rally1 lebih laju di Rally Mexico 2023 minggu ini

Ini kerana salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh semua pasukan dalam WRC Mexico adalah ia diadakan pada kawasan berbukti dengan altitud yang agak tinggi, menyebabkan kadar udara di kawasan berkenaan lebih nipis dari biasa. Dengan udara yang nipis, enjin turbo pada jentera-jentera rali tersebut akan menghasilkan kuasa yang kurang sekitar 25% dari biasa.

Namun untuk sistem hibrid elektrik, ia tidak akan terjejas dengan kadar udara yang nipis berkenaan. Jadi dijangkakan tujahan boost 134 hp dari sistem hibrid elektrik jentera-jentera Rally1 ini akan memberikan pemanduan lebih berkuasa dari jentera-jentera WRCar sebelum ini.

“Ia akan menjadi menarik dengan kuasa tambahan ini. Sudah tentu, kami akan dapat rasakan boost bila kami dapat – ia sangat penting untuk memastikan kami sudah cukup semuannya dan bersedia untuk mengambil manfaat sepenuhnya dari sistem hibrid dan kuasa tambahan,” kata pelumba pasukan Hyundai, Thierry Neuville.

“Apabila kami memperolehi boost, kami pastinya mempunyai kereta paling berkuasa pernah kami pandu di Mexico – tetapi ia juga merupakan cabaran yang besar. Ini merupakan kali pertama kami membawa kereta ini ke altitud sebegini dan ia juga merupakan rali permukaan batu kerikil pertama untuk musim ini,” tambahnya.

Teknologi hibrid elektrik bakal jadikan kereta WRC Rally1 lebih laju di Rally Mexico 2023 minggu ini

Bagi pengarah teknikal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing (TGR WRT) Tom Fowler pula, kelebihan kuasa tambahan ini memang sudah dijangka, namun dia masih risau dengan perkara lain membabitkan sistem penyejukan.

“Memang benar untuk fikirkan bahawa kita mendapat kuasa lebih besar dari sebelum ini – kuasa elektrik tidak akan terjejas dengan altitud seperti enjin pembakaran dalaman biasa, tapi kita perlu ingat bahawa kereta dan bateri masih perlu disejukkan oleh udara yang lebih nipis di ketinggian sebegitu. Udara yang lebih nipis ini tidak akan memberikan penyejukan yang berkesan, jadi agak menarik untuk dilihat apa yang bakal terjadi,” kata Fowler.

Tahun ini menyaksikan Rally Mexico diadakan semula setelah ia digugurkan dari kalendar WRC selepas musim 2020. Ia juga merupakan rali di atas permukaan gravel pertama untuk musim ini selepas pusingan pertama di atas permukaan tar dan juga salji di Monte Carlo pada Januari dan permukaan salji sepenuhnya di Rally Sweden yang berlangsung bulan lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required