Selepas didedahkan kepada dunia buat kali pertama Februari lalu, Kawasaki Ninja ZX-4R kini memasuki pasaran Thailand pada harga 320,000 baht (RM41,500) untuk versi standard berwarna Metallic Spark Black dan 360,000 baht (RM46,700) untuk versi SE berwarna Lime Green/Ebony.
Melihat kepada harga ini, kita boleh mengetahui ZX-4R ditetapkan 61,000 baht (RM7,900) lebih tinggi berbanding ZX-25R iaitu sebuah lagi model sports dengan enjin empat silinder, tetapi dengan kapasiti enjin 250 cc.
ZX-4R menjadi perhatian kerana ia datang dengan enjin empat silinder 399 cc OHC serba baru yang mampu menghasilkan sehingga 77 PS dalam keadaan biasa. Enjin ini juga boleh dikerah sehingga 15,000 rpm, dan apabila salur udara Ram-air padanya cukup padat, ia dapat memberikan kuasa maksimum sehingga 80 PS.
Transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper dipadankan bersama enjin ini, dan menjadikan ia lebih mudah bagi pengguna, versi SE datang terus dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear, soket USB serta fork hadapan dengan pelarasan pra beban spring.
Suspensi ZX-4R terdiri daripada fork Showa SFF-BP 37 mm di hadapan (tanpa pelarasan pra beban untuk model Standard di Thailand), dan monoshock biasa dengan pelarasan pra beban di belakang (pasaran Amerika Syarikat mendapat monoshock Showa BFRC Lite larasan penuh bagi versi RR).
Walaupun cuma merupakan motosikal kelas pertengahan, ZX-4R datang dengan spesifikasi tinggi, termasuk bahagian elektronik yang menyediakan empat mod tunggangan (Sport, Road, Rain or Rider), dua mod kuasa, tiga tahap sistem kawalan cengkaman KTRC, serta meter TFT 4.3 inci dengan mod paparan Normal dan Circuit.
Dengan kuasa yang tinggi pada badan kompak sama seperti ZX-25R, Kawasaki tidak berkompromi dengan ciri keselamatan dengan memberikan tetapan brek cakera 290 mm berkembar bersama angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang, sistem ABS serta rim 17 yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.
Ciri lain pada ZX-4R adalah termasuk semua lampu jenis LED, tangki bahan api 15 liter, berat keseluruhan 188 kg (+1 kg untuk SE), tinggi tempat duduk 800 mm, serta skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Rideology.
GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4R pasaran antarabangsa