Toyota GR Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition – model konsep sempena ulangtahun ke-100 Le Mans

Toyota GR Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition – model konsep sempena ulangtahun ke-100 Le Mans

Sempena sambutan 100-tahun perlumbaan Le Mans 24 Jam pada hujung minggu ini, Toyota telah mendedahkan model konsep Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition. Model konsep ini dihasilkan berasaskan Prius generasi baharu dan dibina sebagai penghormatan kepada perlumbaan ketahanan berkenaan di mana ia menjadi platform untuk Toyota bagi membangunkan teknologi hibrid perlumbaan sejak 2012.

Buat masa sekarang, Toyota boleh dikatakan mendominasi perlumbaan Le Mans 24 Jam ini dengan memenangi lima perlumbaan secara berturut-turut sejak 2018. Jenama dari Jepun berkenaan mensasarkan satu lagi gelaran juara tahun ini dengan mempertaruhkan jentera lumba hibrid GR010.

Bagi model konsep GR Prius yang didedahkan ini, ia menerapkan rekaan yang diinspirasikan dari jentera lumba GR010 tersebut. Ia jelas dilihat pada lampu LED hadapan yang diletak pada bahagian bampar yang kini direka lebih lebar serta diberikan gril signatur GR dan juga spoiler pada bahagian bawah.

Toyota GR Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition – model konsep sempena ulangtahun ke-100 Le Mans

Ia juga diberikan rim 18-inci dari Rays Engineering dengan rekaan sama seperti rim pada jentera lumba GR010, disalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 235/50. Menurut Toyota, suspensi GR Prius ini juga sudah diubahsuai bagi memberikan jarak trek roda yang lebih jauh, secara tidak langsung kesemua fender juga perlu dilebarkan.

Selain itu ia juga dilengkapi dengan bonet hadapan gentian karbon serta kit aero lain termasuk canards pada bampar hadapan, skirt sisi lebih lebar, diffuser belakang lebih menonjol serta spoiler belakang dengan sayap bersaiz besar. Walau bagaimanapun Toyota tidak menyatakan sama ada sistem rangkaian kuasa untuk Prius ini diubahsuai atau tidak.

Untuk model standard Prius yang dijual dalam pasaran, ia boleh dipilih dalam versi paling berkuasa menampilkan sistem plug-in hybrid (PHEV) menggandingkan enjin Dynamic Force M20A-FXS 2.0 liter empat silinder, pek bateri lithium-ion dan juga motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS (220 hp atau 164 kW), membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.7 saat.

Toyota GR Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition – model konsep sempena ulangtahun ke-100 Le Mans

Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition ini nanti akan dipamerkan bersama Mazda MX-30 R-EV. Ini kerana Toyota dan Mazda bersama Organisasi Pelancongan Nasional Jepun (JNTO) akan melangsungkan pameran di Perkampungan Pengeluar Le Mans.

Mazda MX-30 R-EV yang menggunakan enjin Wankel Rotary sebagai enjin penambah jarak bagi crossover hibrid berkenaan dipilih bagi memperingati jentera lumba Mazda 787B yang menggunakan enjin Wankel Rotary, menjadi kereta lumba pertama dari Jepun yang memenangi perlumbaan Le Mans pada tahun 1991.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required