Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

Kebelakangan ini ada beberapa Subaru Impreza 22B STI terjual dalam laman lelongan, dan boleh dikatakan kesemua unit berkenaan berjaya pada harga melebihi RM1 juta ringgit. Maklumlah, dalam barisan model Subaru Impreza, 22B merupakan model yang mempunyai nilai paling tinggi, bukan hanya kerana ia dibina dalam jumlah terhad, malah turut mengambil kira kebolehan, nilai sejarah dan rupanya yang begitu garang.

Dan antara kesemua unit 22B tersebut, unit yang bakal dilelong di laman Silverstone Auction ini merupakan yang paling rare – ia adalah unit pra-produksi, dan dimiliki oleh lagenda rali Subaru yang menaikkan sendiri nama Impreza iaitu mendiang Colin McRae!

Impreza 22B ini hanya dihasilkan sebanyak 424-unit di mana tiga unit merupakan prototaip pra-produksi, 400 unit model untuk pasaran domestik Jepun (kesemuanya habis dijual tidak sampai sejam selepas diumumkan!), 16-unit dibawa ke United Kingdom (diberi nama Type UK, menerima sentuhan Prodrive bagi disesuaikan dengan keadaan pemanduan di negara tersebut) dan lima unit dibawa ke Australia.

Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

Walaupun 22B milik Colin McRae ini berada di UK, ia bukanlah 22B Type UK tetapi merupakan salah satu dari tiga unit pra-produksi, dengan plat nombor produksi #000/400. Memang paling rare antara 22B yang lain!

Meter perbatuan pada 22B ini mencatatkan perjalanan sejauh hampir 12,000 km. Jadi kereta ini memang pernah dipandu, dan bukan hanya dijadikan bahan pameran. Malah dalam satu temu bual yang dibuat oleh rancangan TV tempatan di UK, McRae menyatakan 22B ini antara kereta kegemarannya dalam banyak koleksi yang beliau ada untuk dipandu di atas jalan raya.

Dalam temu bual itu juga Colin McRae turut menyatakan bahawa 22B ini bukan diberikan percuma oleh Subaru, sebaliknya beliau membelinya sendiri walaupun bergelar juara dunia Kejohanan Rali Dunia (WRC) untuk musim 1995 dengan memandu Subaru Impreza WRX. Kereta ini diterima oleh Colin McRae pada bulan November 1998.

Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

Subaru Impreza 22B STI ini diperkenalkan pada tahun 1998, dan ia dihasilkan sempena ulangtahun ke-40 Subaru, serta bagi meraikan gelaran Juara Dunia kategori pengeluar mereka dalam WRC untuk tiga tahun berturut-turut – 1995, 1996 dan 1997. Bagi Colin McRae sendiri, beliau sememangnya memberikan sumbangan yang besar dalam kejayaan tersebut kerana telah memandu untuk Prodrive dan Subaru sejak 1991 ketika baru berumur 23 tahun.

Model isitimewa ini dihasilkan dengan kit badan lebar bersama bampar dengan rupa yang sama dengan jentera lumba sebenar Subaru Impreza WRCar 1997 (juga dipandu oleh Colin McRae dalam WRC), direka oleh pereka tersohor British yang turut menghasilkan rekaan supercar McLaren F1 iaitu Peter Steven.

Manakala rekaan spoiler belakang dengan sudut attack yang boleh dilaras pada 22B ini pula dihasilkan dengan kerjasama Fuji Aerospace (salah satu syarikat di bawah Fuji Heavy Industri iaitu pemilik jenama Subaru, kini dikenali sebagai Subaru Corporation), yang turut bertanggungjawab menghasilkan berberapa komponen untuk pesawat seperti Boeing 777 dan Airbus 380.

Namun anda jangan keliru, jentera WRC sebenar Subaru dihasilkan dari kerangka Impreza coupe dua pintu biasa seperti yang disyaratkan dalam regulasi WRCar yang menggantikan regulasi Group A pada tahun 1997. Manakala Subaru 22B ini pula dihasilkan dari kerangka Subaru Impreza WRX STI version IV Type R (coupe dua pintu, manakala model empat-pintu dikenali sebagai Type RA) dengan inspirasi rekaan dari jentera rali Impreza WRCar berkenaan.

Selain itu, model istmewa ini turut menerima warna badan yang sama dengan jentera WRC sebenar iaitu Sonic Blue (ada juga yang menggelarnya sebagai Mica Blue), bersama rim BBS Electra 17-inci dalam kemasan emas.

Pada bahagian dalaman, 22B STI ini masih mengekalkan rupa yang hampir sama dengan WRX STI Version IV Type R. Namun ia diberikan pelbagai perincian istimewa antaranya upholsteri dengan fabrik biru-hitam, paparan instrumen meter STI dengan latar belakang putih, tombol gear dan roda stereng Nardi balutan kulit dengan serlahan benang merah dan juga plat istimewa yang dicetak dengan nombor siri unik.

Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

Subaru Impreza 22B tidak dijana oleh enjin boxer empat silinder EJ20 2.0 liter turbo seperti WRX STI version biasa, sebaliknya ia diberikan enjin EJ22 lebih besar berkapasiti 2.2 liter bersama pengecas turbo IHI RHF 5HB. Atas kertas, enjin tersebut menghasilkan 280 hp dan tork maksima 363 Nm, atau jumlah kuasa kuda yang sama tetapi tork yang sedikit lebih besar dari WRX STI Version biasa.

Namun sebenarnya itu cuma jumlah kuasa yang dihadkan kerana Subaru perlu mematuhi undang-undang ‘gentlemen agreement’ antara pengeluar-pengeluar di Jepun pada era 90’an dahulu bagi mengelakkan ‘perang kuasa kuda’ yang akan terjadi, seterusnya menyebabkan jentera-jentera berbahaya di jual dalam pasaran. Ada laporan menyatakan, enjin EJ22 tersebut boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 350 hp hanya dengan talaan semula dibuat pada kotak komputer.

Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear yang turut diambil berasaskan kotak gear WRX STI Version, iaitu kotak gear lima kelajuan nisbah rapat yang boleh digunakan terus dalam perlumbaan rali Group N pada era berkenaan. Kuasa dihantar ke kesemua roda dengan sistem AWD yang dilengkapi tiga LSD (depan, tengah dan belakang), dibantu sistem Driver Controlled Center Differential (DCCD) membolehkan pemandu membuat larasan penghantaran tork gandar belakang dan hadapan dari 50:50 hingga 70:30.

Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

Selain itu, 22B turut menerima perincian prestasi unik lain seperti sistem suspensi dari pembekal suspensi jentera WRCar mereka iaitu Bilstein dan juga sistem klac dua-lapis dengan plat dari bahan seramik.

Ramai yang berpendapat nama ’22B’ itu hadir dari enjin 2.2 liter dan juga suspensi Bilstein yang dipadankan pada kereta ini. Namun fakta sebenarnya 22B ini adalah kod berasaskan hexadecimal (nombor berasaskan 16 yang digunakan dalam coding program komputer di mana huruf A dan F digunakan untuk nombor 10 hingga 15). Ia boleh boleh dirungkai dengan kiraan seperti berikut:

2x16x16 = 512
2×16 = 32
B = 11

Setelah semua jawapan dari hexadecimal tersebut diperolehi, sekarang campurkan jumlahnya; 512+32+11, jawapan akhirnya ialah 555. Ya, 555 iaitu jenama rokok yang begitu sinonim dengan Subaru. Syarikat tembakau tersebut telah menaja Prodrive dan Subaru World Rally Team dari era 90’an hingga pasukan tersebut menarik diri dari WRC pada tahun 2008, membuatkan imej Subaru melekat dengan warna biru-kuning yang berasal dari kotak rokok 555 berkenaan.

Seperti yang disebut tadi, lelongan untuk Subaru Impreza 22B milik Colin McRae ini akan bermula pada 26 Ogos nanti. Dan menurut Silverstone Auction, kereta ini dijangka akan terjual pada harga £400,000 (RM2.4 juta) sehingga £500,000 (RM3 juta)!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required