Ferrari SF90 XX Stradale dan Spider didedah – terhad hanya 1,398 unit, lebih berprestasi, kuasa 1,030 PS

Ferrari SF90 XX Stradale dan Spider didedah – terhad hanya 1,398 unit, lebih berprestasi, kuasa 1,030 PS

Ferrari mempunyai satu bahagian dipanggil sebagai Ferrari XX Programme, yang menghasilkan kereta khas untuk kegunaan litar seperti FXX-K Evo, FXX Evo dan 599XX. Kereta yang dikeluarkan melalui program ini bagaimanapun tidak boleh digunakan atas jalan biasa, dan hanya boleh dipandu atas litar sahaja.

Ini bagaimanapun sudah berubah apabila SF90 XX Stradale dan SF90 XX Spider diperkenal, menjadi dua kereta pertama XX Programme yang boleh diguna atas jalan biasa. Mengambil asas daripada SF90 Stradale dan SF90 Spider sedia ada, kedua-dua model ini dijadikan lebih berkuasa, ringan dan aerodinamik untuk meningkatkan prestasinya.

Seperti model keluaran istimewa Ferrari yang lain, SF90 XX akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu cuma 799 unit untuk Stradale dan 599 unit untuk Spider. Walaubagaimanapun, semasa berita ini ditulis, semua 1,398 unit sudah ditempah dan penghantaran kepada pelanggan akan bermula suku kedua tahun depan.

Kereta yang dibeli oleh pelanggan yang bertuah ini akan menggunakan penggerak plug-in hybrid seperti SF90, yang terdiri daripada gabungan enjin V8 4.0 liter twin turbo dengan tiga motor elektrik. Untuk SF90 XX, enjin V8 ini mendapat kuasa yang lebih tinggi, iaitu 797 PS (786 hp atau 586 kW) dan tork 804 Nm, berbanding 780 PS/800 Nm pada SF90 biasa.

Menurut Ferrari, peningkatan kuasa ini dapat dilakukan dengan membuat polishing pada laluan udara dan ekzos, piston baru, pembentukan kebuk pembakaran khas serta peningkatan nisbah mampatan. Sementara itu, motor elektriknya pula diberikan boost tambahan.

Peningkatan utama lain pada bahagian penggerak adalah kotak gear klac berkembar lapan kelajuan yang sekarang datang dengan logik penukaran daripada Daytona SP3, manakala salur yang menyambungkan bahagian intake dengan kabin telah direka semula untuk memberikan bunyi yang lebih memuaskan.

Melalui perubahan mekanikal ini, SF90 XX secara keseluruhannya mampu menghasilkan kuasa 1,030 PS (1,016 hp atau 747 kW) dan melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.3 saat. Laju maksimum bagaimanapun adalah lebih rendah berbanding SF90 biasa, menjadi 320 km/j disebabkan perubahan aerodinamik yang dibuat.

Pada kelajuan 250 km/j, SF90 XX boleh memberikan daya tolak ke bawah (downforce) sebanyak 530 kg, jauh lebih tinggi berbanding 390 kg pada SF90 biasa. Kunci utamanya adalah pada sayap belakang baru, yang digabungkan bersama spoiler aktif asal SF90.

Ferrari SF90 XX Stradale dan Spider didedah – terhad hanya 1,398 unit, lebih berprestasi, kuasa 1,030 PS

Splitter hadapan juga adakah khas untuk model ini, dan ia dijadikan lebih besar untuk menghantar angin kepada bahagian bawah yang direka semula dengan diffuser lebih besar dan penjana vortex. Anda juga akan dapat melihat bukaan udara S pada bonet yang dapat menarik angin panas daripada radiator dan membantu meningkatkan daya tolak ke bawah sebanyak 20%.

Demi mendapatkan dinamik kenderaan yang maksimum, pelbagai teknologi digunakan pada kereta ini, termasuk Ferrari Dynamic Enhancer 2.0 dan tambahan ABS Evo Controller daripada model 296 GTB. Sistem ini mempunyai tiga yaw sensor yang boleh membaca dinamik kenderaan secara lebih tepat dan menghantar data ke unit kawalan untuk sebarang campur tangan jika perlu. Brek yang lebih besar juga dipasang pada kenderaan ini.

Demi mendapatkan rasa lebih seperti kereta lumba, bahagian kokpit mendapat barang-barang yang lebih ringkas dan banyak diperbuat daripada gentian karbon. Turut digunakan adalah Alcantara pada beberapa bahagian, manakala alas kaki pula dibuang terus. Tempat duduk juga menggunakan rangka gentian karbon, tetapi ia masih boleh dilaras.

Secara keseluruhannya, SF90 XX Stradale mencatat berat 1,560 kg, manakala Spider lebih berat, iaitu 1,660 kg disebabkan mekanikal bumbungnya. Menurut Autocar, SF90 XX Stradale dijual pada harga bermula 770,000 euro (sekitar RM3.9 juta) manakala versi Spider dijual pada 850,000 euro (sekitar RM4.3 juta).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required