Di negara jiran, Indonesia, Kawasaki telah memberikan penampilan baru kepada model sport Ninja ZX-25R varian ABS SE, dengan kini ditawarkan dalam warna Candy Plasma Blue/Metallic Spark Blue dan Candy Persimmon Red. Varian asas bagi model ini pula cuma ditawarkan dalam warna hitam, manakala varian lebih tinggi iaitu ZX-25RR disediakan dalam warna Lime Green.
Bahagian lain motosikal ini tidak diubah, dan ia masih sama seperti model yang diperkenalkan pada Oktober tahun lepas, yang mendapat peningkatan panel instrumen TFT berwarna penuh, dengan Circuit Mode dan boleh disambung kepada telefon bimbit melalui aplikasi Rideology App.
Enjin masih lagi unit empat silinder DOHC 249.8 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm. Bagi versi SE ini, ia datang dengan brek ABS dual-channel serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear, secara standard.
ZX-25R dibangunkan atas kerangka trellis untuk menjamin tunggangan sporty sementara brek pula menggunakan unit cakera tunggal floating 310 mm berserta angkup monoblock empat piston di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup dua piston di belakang. Tayar adalah bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.
Walaupun cuma adalah model 250 cc, ZX-25R didatangkan dengan sistem elektronik canggih yang termasuk pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Berat keseluruhannya adalah 182 kg manakala tangki bahan api mempunyai kapasiti 15 liter.
Bagi pasaran Malaysia, model ini dikatakan akan dilancar pada pertengahan tahun ini, tapi nampaknya ia masih lagi belum berlaku. Pada bulan Oktober tahun lepas, CEO Modenas, Roslan Roskan memberitahu bahawa model yang akan dibawa adalah versi terkini dengan meter TFT, dan ia akan dipasang di Malaysia.
GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 pasaran Indonesia
GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R ABS SE 2023 pasaran Indonesia
GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023 pasaran Indonesia
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.