Keiichi Tsuchiya akan drift EV Hyundai Ioniq 5 N di WTAC 2023, Sydney Motorsport Park bulan depan

Keiichi Tsuchiya akan drift EV Hyundai Ioniq 5 N di WTAC 2023, Sydney Motorsport Park bulan depan

Sebut sahaja Keiichi Tsuchiya, kita tentu sahaja terbayang seorang pelumba lagenda Jepun yang begitu obses dengan Toyota AE86 serta aksi drift sehingga beliau diberikan gelaran “The Drift King”.

Namun pada perlumbaan World Time Attack Challenge (WTAC) yang akan berlangsung di Sydney Motorsport Park, Australia pada 1 dan 2 September nanti, ada sesuatu yang luar biasa akan disajikan oleh Dorikin kerana beliau akan memandu sebuah kereta elektrik dari Korea Selatan iaitu Hyundai Ioniq 5 N!

Kemunculan Tsuchiya dengan Ioniq 5 N ini bukan hanya sempena perlumbaan WTAC 2023, malah ia adalah persembahan istimewa untuk pengenalan rasmi model prestasi elektrik pertama Hyundai N berkenaan di pasaran Australia. Sebelum ini Hyundai Ioniq 5 N tersebut telah membuat kemunculan global sulungnya di Goodwood Festival of Speed bulan lalu.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan World Time Attack Challenge, yang akan memberikan wadah yang sempurna bagi menunjukkan kebolehan prestasi besar Ioniq 5 N, kenderaan elektrik sepenuhnya Hyundai N kami, kata CEO Hyundai Motor Company Australia, Ted Lee.

“Kami teruja Hyundai telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan World Time Attack Challenge untuk kemunculan sulung Ioniq 5 N. Dengan kuasa 478 kW dan dipandu lagenda Keiichi Tsuchiya, peminat akan disajikan dengan demonstrasi yang hebat,” kata CEO WTAC, Ian Baker.

Hyundai Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard, diberikan prestasi dan juga rupa yang lebih agresif. Ia menampilkan badan 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah yang terhasil kerana ia memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.

Keiichi Tsuchiya akan drift EV Hyundai Ioniq 5 N di WTAC 2023, Sydney Motorsport Park bulan depan

kerangka Ioniq 5 N ini juga telah dipertingkat. Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang. Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.

Untuk unit rangkaian kuasa, Ioniq 5 N yang masih diasaskan dari platform E-GMP ini menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang – jadi Ioniq 5 N ini merupakan jentera produksi jalan raya pertama Hyundai N yang menampilkan sistem AWD, memberikan peluang bagi sayap perlumbaan itu memindahkan pengetahuan mereka dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang telah disertai sejak 2014 kepada model produksi yang dijual di bilik pameran.

Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.

Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

Dengan pengetahuan yang dikutip dari Kejohanan Rali Dunia (WRC), Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N – ini yang akan didemonstrasikan oleh Keiichi Tsuchiya di Sydney nanti. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan aksi clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.

Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.

Bagi menghasilkan N Active Sound tersebut, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang.

GALERI: Hyundai Ioniq 5 N

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required