Proton S50 – unit prototaip kini dilihat diuji dengan kit badan, nampak lebih tegap dari Geely Emgrand

Proton S50 – unit prototaip kini dilihat diuji dengan kit badan, nampak lebih tegap dari Geely Emgrand

Akhir-akhir ini unit prototaip sedan terbaharu Proton yang dijangka akan digelar sebagai S50 semakin kerap dilihat diuji di atas jalan raya. Maklumlah, sebelum ini Proton ada menyatakan bahawa model tersebut bakal dilancarkan pada akhir tahun ini, sudah tentulah ujiannya perlu dibuat lebih kerap bukan?

Namun unit prototaip terkini yang imejnya berjaya dirakam oleh Joseph Kong ini nampak lebih menarik dari unit-unit sebelum ini – ia nampak lebih sporty kerana telah pun diberikan kit aero tambahan! Kit tersebut dengan jelas menampilkan lips bawah bampar hadapan, skirt sisi, spoiler ‘ekor itik’ pada but belakang dan juga unit diffuser belakang yang nampak lebih besar dari sebelum ini.

Walaupun masih berselindung sepenuhnya disebalik pelekat penyamaran, kit aero yang dipadankan ini sudahpun memberikan bentuk badan yang lebih tegap dari model asas pembinaannya iaitu Geely Emgrand. Bukan sahaja lebih kacak, Proton S50 juga dijangka akan menerima perincian yang lebih canggih dari Geely Emgrand yang sudah dijual di China dan Filipina.

Berdasarkan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter, S50 nampaknya akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang tidak ditawarkan pada Emgrand.

Proton S50 – unit prototaip kini dilihat diuji dengan kit badan, nampak lebih tegap dari Geely Emgrand

Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.

Selain itu, S50 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear CVT.

Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.

Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya.

Proton S50 – unit prototaip kini dilihat diuji dengan kit badan, nampak lebih tegap dari Geely Emgrand

Unit ujian Proton S50 yang dijumpai tanpa kit badan sebelum ini

Di Filipina, Emgrand merupakan sedan segmen-B yang bersaing dengan model seperti Honda City dan juga Toyota Vios. Namun menerusi petunjuk yang didedahkan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu, Proton S50 bukanlah model sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona sedia ada kerana ia merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

Oleh itu S50 ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla, kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya.

Malah saiz Emgrand di China turut hadir dengan saiz yang agak besar berbanding saingan segmen-B, membolehkan ia masuk ke saingan segmen-C, menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

Proton S50 – unit prototaip kini dilihat diuji dengan kit badan, nampak lebih tegap dari Geely Emgrand

Unit ujian Proton S50 yang dijumpai tanpa kit badan sebelum ini

Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.

Kami juga menjangkakan S50 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-C. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.

Jadi kami jangkakan varian paling rendah untuk Proton S50 ini kelak mungkin boleh dijual bermula RM60k untuk varian paling asas. Apa pun kita tunggu sahaja pengumuman rasmi dari Proton kerana kita sudahpun berada dipertengahan suku ketiga 2023, tak lama lagi akan mula masuk suku terakhir tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required