Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

Proton S50 hasil bayangan digital Theophlius Chin

Ketika Proton memperkenalkan X70 pada akhir 2018, ramai yang mengatakan bahawa Proton kini hanya ‘menukar logo’ kereta jenama China untuk dijual di Malaysia. Namun hakikatnya, X70 telah pun menerima kejuruteraan tempatan untuk menukar posisi pemanduan sebelah kiri (LHD) ke sebelah kanan (RHD) kerana Geely tidak pernah menghasilkan model RHD.

Kerja-kerja tersebut bukan hanya melibatkan penukaran kedudukan komponen, malah sebenarnya Proton pula menghasilkan rekaan semula pada bahagian tertentu pada kerangka badan dan juga komponen, dan kemudian ujian keselamatan pelanggaran juga perlu dibuat semula.

Untuk X50 pula, jurutera Proton turut melakukan proses yang sama, disamping menala semula pengendalian SUV segmen-B berkenaan menggunakan pengetahuannya yang dipelajari ketika bersama dengan Lotus, agar model tersebut lebih sesuai digunakan pada permukaan jalan di Malaysia.

Proton juga memadankan enjin 1.5 liter Turbo tanpa sistem suntikan bahan api terus yang lebih mampu milik pada varian-varian lebih rendah untuk X50, di mana enjin berkenaan tidak pernah lagi digunakan oleh mana-mana model yang ditawarkan oleh Geely di pasaran lain.

Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

Proton S50 hasil bayangan digital Theophlius Chin

Dan baru-baru ini, Proton telah memperkenalkan SUV segmen-D X90 dengan sistem hibrid ringkas. Menerusi model ini, Proton nampaknya memberikan sentuhan yang lebih banyak bagi disesuaikan untuk pasaran tempatan. Berbanding asas X90 iaitu Geely Houyue pasaran China yang hanya diberikan sistem suspensi belakang ringkas jenis torsion beam, Proton memadankan sistem suspensi jenis multilink yang lebih jitu untuk modelnya.

Sistem berkenaan bukan hanya terus diambil dari Geely Okvango pasaran Filipina, sebaliknya ia diolah dan ditala semula oleh Proton. Hasilnya, ia bukan sahaja memberikan pengendalian yang lebih jitu, malah X90 juga dapat memberikan keselesaan yang lebih baik.

Malah X90 juga hadir dengan tempat duduk kapten pada baris kedua pada varian Flagship – perincian ini belum pernah diberikan pada Houyue dan Okavango pada mana-mana pasaran lain dalam dunia.

Untuk model seterusnya yang akan dilancar oleh Proton menjelang akhir tahun ini iaitu sedan yang dijangka akan diberi nama Proton S50, ia berkemungkinan akan menerima lebih banyak sentuhan dari Proton berbanding model asasnya yang dijual di China dan Filipina iaitu Geely Emgrand.

Geely Emgrand pasaran China

Emgrand merupakan sedan yang diasaskan dari platform BMA, iaitu platform sama digunakan pada model seperti Proton X50/Geely Binyue dan Lynk & Co 06. Ia adalah sedan yang dihasilkan untuk berhadapan dengan model-model segmen-B seperti Toyota Vios dan juga Honda City.

Di China dan Filipina, Emgrand dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder tanpa pengecas turbo, digandingkan dengan kotak gear CVT – perincian setara yang membolehkan ia bertanding dengan model seperti Vios dan City.

Namun Emgrand mempunyai kelebihan dari segi saiz – ia dihasilkan dengan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm, iaitu saiz yang hampir masuk ke kelas segmen-C. Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar.

Kerangka asas Emgrand ini juga didakwa mendapat sentuhan talaan jurutera Geely bukan sahaja di China, malah di Eropah bagi mendapat prestasi NVH pada tahap premium. Geely menyatakan bahawa bunyi yang dihasilkan di dalam kabin ketika kelajuan pepura enjin hanya pada tahap 37 desibel, manakala kadar geseran udara yang rendah pada tahap 0.27 juga menghasilkan bunyi yang senyap ketika kereta ini bergerak.

Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

Dengan kelebihan ini, Proton nampaknya mahu S50 bertanding terus dalam kelas segmen-C untuk berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla disini. Perkara ini telah disebut oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu.

Dr. Li mengesahkan S50 merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang. Jadi ia bukanlah sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona yang kini masih lagi dijual, tetapi sedan segmen-C yang akan menggantikan tempat Proton Preve.

Preve sudah tidak dijual selepas versi kemaskini terakhir diperkenalkan pada 2018. Malah sama ada ia kebetulan atau tidak, jarak roda 2,650 mm pada Emgrand adalah sama sepenuhnya dengan Preve.

Untuk membolehkan S50 bertanding sebagai sebuah sedan segmen-C sebenar, ia dijangka tidak akan menggunakan enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT seperti Emgrand, sebaliknya bakal dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

Proton sebelum ini sudah pun menyatakan dengan jelas pembangunan untuk enjin 1.6 liter Campro Turbo yang digunakan oleh Preve sebelum ini sudahpun ditamatkan, dan enjin utama yang akan digunakan pada model-model serba baharunya selepas ini adalah enjin 1.5L Turbo yang dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut.

Enjin berkenaan kini sudahpun dipasang sendiri oleh Proton di kilangnya di Tanjong Malim dengan tingkat taraf pelaburan mencecah RM1.8 bilion. Bukan itu sahaja, malah 70% dari komponen enjin berkenaan kini dibuat oleh vendor-vendor Proton dalam Malaysia, dan Proton menyatakan bahawa ia mampu untuk memasang 180,000 unit enjin tersebut setahun.

Walau bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada S50 akan menerima enjin 1.5L Turbo yang menerima sistem suntikan bahan api konvensional (PFI) berkuasa 150 PS/226 Nm seperti X50 varian Premiun dan ke, bawah ataupun dalam versi dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 177 PS/255 Nm.

Ini kerana sebelum ini Proton ada menyatakan bahawa enjin 1.5L Turbo PFI yang belum lagi digunakan pada mana-mana model Geely tersebut akan digunakan dalam barisan model baharunya selepas ini, khususnya model-model yang akan dibangunkan secara tempatan dalam tempoh masa sehingga 2025.

Proton sedang hasilkan sedan S50 yang lebih hebat dari Geely Emgrand di pasaran China dan Filipina?

Dalam gambar intipan terbaharu yang dimuatnaik oleh laman facebook The Ajerul baru-baru ini, Proton S50 nampaknya bakal dilengkapi satu lagi sistem yang lebih canggih berbanding Emgrand iaitu sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

Ia disahkan kerana pada unit sedan prototaip yang dilihat sudahpun dipadankan dengan gril signatur Infinite Weave Proton tersebut turut dipadankan dengan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan. Trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan juga dilihat mempunyai lubang empat segi, yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter.

Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.

Dari segi suspensi, tidak mustahil juga S50 akan menerima sistem multilink untuk bahagian belakang berbanding hanya torsion beam pada Emgrand. Masih lagi belum ada petunjuk yang menyokong kemungkinan ini, namun disebabkan beberapa faktor seperti enjin yang lebih berkuasa mungkin akan menjadi faktor untuk Proton memilih sistem suspensi lebih baik tersebut.

Malah Proton Preve juga sebelum ini sudahpun menggunakan sistem multilink, tidak mustahil penggantinya ini akan menggunakan sistem yang sama. Lagipun pada X90 Proton telah membuktikan ia tidak ragu-ragu untuk memilih multilink berbanding torsion beam, mungkin pilihan yang sama akan dibuat pada S50 ini kan?

Pasti ramai yang tertunggu-tunggu pelancaran S50 ini kan? Mana tidaknya, selepas tiga buah SUV, ini adalah sedan serba baharu pertama yang akan diperkenalkan Proton, yang memang terkenal menghasilkan sedan-sedan yang bagus seperti model generasi pertamanya Proton Saga, dan model-model lain seperti Waja dan Preve.

S50 ini mungkin akan menjadi sedan paling sempurna untuk Proton kelak dengan platform termaju, enjin dan transmisi yang padu bersama talaan pengendalian Proton, tanpa masalah seperti yang dihadapi Preve seperti kotak gear CVT dan penggunaan bahan api yang tidak efisien dan sebagainya.

Buat masa sekarang Honda Civic mungkin berada selesa di hadapan sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia. Namun selepas pengenalan S50 ini kelak, kedudukan itu mungkin tergugat kerana Proton mungkin dapat menjual sedan segmen-C ini dalam julat harga seperti sedan segmen-B iaitu sekitar RM70k hingga RM90k.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required