Lynk & Co, yang merupakan satu cabang jenama kenderaan mewah di bawah Geely hujung minggu lalu telah mencatat sejarah baru dalam dunia perlumbaan apabila menjadi juara WTCR 2019. Tapi di ibu pejabat mereka, kerja-kerja pembangunan kenderaan baru terus berjalan. Gambar yang didapati daripada Car News China ini adalah kenderaan yang akan menjadi model keenam jenama itu, dengan lencana bernombor 06.
Angka yang digunakan itu tidak merujuk kepada saiz kenderaan, dan 06 sebenarnya adalah SUV paling kecil oleh syarikat itu. Ukurannya adalah 4,340 mm panjang, 1,820 mm lebar dan 1,625 mm tinggi – dengan jarak roda 2,540 mm. Ia lebih pendek berbanding 01 (4,512 mm) dan 02 (4,448 mm), sekaligus meletakkannya dalam segmen B bersama pesaing seperti Honda HR-V dan Toyota C-HR.
Sama seperti produk Lynk & Co yang lain, 06 besar kemungkinan dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dikongsi dengan Geely dan Volvo. Ia juga mempunyai banyak persamaan rekaan termasuk lampu utama bertingkat – tetapi bahagian bawah 06 kelihatan lebih nipis disepadukan dengan gril.
Dilihat dari tepi, bayangan “bumbung terapung” cuba dijadikan lebih jelas dengan tiang tengah yang diwarnakan hitam, sedikit garis pada A-pillar dan corak seperti sirip jerung di D-pillar – digunakan pertama kali pada model coupe seperti 05. Pada pintu hadapan pula terdapat lekuk yang bersilang sementara lampu belakang mempunyai garis tajam di tepi.
Seperti biasa, 06 akan ditawarkan dengan pelbagai pakej aksesori, termasuk bumbung warna kontras serta kemasan cermin dan gril oren. Model 06 ini dijangka menggunakan enjin sama seperti model Lynk & Co lain, terdiri daripada unit tiga silinder turbo 1.5 liter dengan 174 hp atau plug-in hybrid 190 hp. Ia mungkin masuk pasaran China awal tahun hadapan.