Toyota telahpun mengesahkan gelaran juara kategori pengeluar untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2023 di Rally Chile hujung minggu lalu walaupun masih ada dua pusingan berbaki untuk musim ini. Ini membolehkan gergasi automotif Jepun berkenaan mempertahankan gelaran tersebut sejak 2021, dan yang ketujuh termasuk yang dirangkul pada 1993, 1994, 1999, dan 2018!
Rally Chile 2023 yang berlangsung bermula pada 28 September dan berakhir pada 1 Oktober lalu merupakan pusingan ke-11 dalam kalender WRC musim ini. Ia dimenangi oleh pemandu Ford dari Estonia, Ott Tänak dan diikuti oleh pelumba Belgium yang memandu untuk pasukan Hyundai, Thierry Neuville.
Ketiga-tiga kereta pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing (TGR-WRT) berjaya menamatkan Rally Chile dalam kelompok lima teratas dengan kedudukan terbaik dicapai oleh pemandu Wales, Elfyn Evans yang menduduki tangga ketiga. Juara WRC tahun lalu, Kalle Rovanperä menamatkan rali ini di kedudukan keempat diikuti pemandu dan satu-satunya pemandu Toyota dari Jepun Takamoto Katsuta di tempat kelima.
Rovanperä dan Evans menambah kutipan mata dengan menamatkan SS Power Stage dalam kedudukan 1-2, membolehkan Toyota kekal di tempat pertama dalam kategori keseluruhan, dan secara matematik tiada pasukan lain boleh memintas jumlah mata berkenaan dalam dua lagi pusingan yang akan berlangsung di Central Europe Rally bulan ini dan Rally Japan November nanti.
Gelaran juara dunia untuk WRC 2023 belum lagi dapat disahkan, namun ia turut akan menjadi milik Toyota kerana dua pemandu pasukan tersebut kini berada di kedudukan pertama dan kedua dengan Rovanperä mengutip 217 mata, diikuti Evans dengan 186 mata. Neuville berada di tempat ketiga dengan kutipan mata agak jauh tertinggal iaitu 155 mata.
“Saya sangat gembira dengan bagaimana rali ini berakhir untuk kami. Ia bukanlah yang paling mudah kerana hari Sabtu adalah hari yang sangat mencabar, dan pagi ini kami fikir sukar untuk menaiki podium. Tetapi ia menunjukkan bahawa dalam rali anda hanya perlu bersabar dan teruskan sehingga akhir, kerana ia sentiasa boleh membawa kejutan. Saya sangat berbangga dengan pasukan dan krew untuk semua kerja yang telah kami lakukan sepanjang musim ini,” kata prinsipal pasukan TGR-WRT, Jari-Matti Latvala
“Memenangi gelaran pengeluar dua pusingan sebelum akhir musim adalah yang paling awal kami pernah capai dengan TGR-WRT. Persaingan adalah sukar dan kemampuan kereta hampir sama, tetapi saya fikir kami telah membuat perbezaan atas faktor ketahanan kami dan membawa pulang kereta tanpa masalah, seperti yang kami lakukan di sini. Kini kami teruja untuk melihat mana antara dua krew kami yang bertarung untuk gelaran pemandu dan juruarah akan berjaya dalam dua pusingan terakhir,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.