Tak, anda tak salah tengok dan kami tak salah tulis – ini bukan Toyota Yaris tetapi adalah Mazda 2 Hybrid pasaran Eropah yang di’rebadge’ dari hatchback segmen-B dari Toyota tersebut. Model ini telahpun diperkenalkan buat pertama kali pada Disember 2021, dan kini ia telah muncul dalam versi facelift 2024.
Bagi model facelift ini, ia menampilkan rekaan bampar yang sedikit berbeza tidak seperti sebelum ini yang menggunakan bampar sama sepenuhnya dengan Yaris. Bampar berkenaan menerima bahagian gril dan juga perumah lampu kabus yang lebih sinonim dengan model-model Mazda lain.
Versi facelift ini juga menampilkan rekaan rim yang berbeza berbanding versi sebelum ini yang menggunakan terus rim dari Toyota. Selain dari itu komponen seperti lampu hadapan dan belakang, fender, penutup but dan lain-lain pada Mazda 2 Hybrid ini masih mengunakan peralatan yang sama dengan Toyota Yaris pasaran Eropah dan Jepun (berbeza dengan Yaris pasaran ASEAN termasuk Malaysia).
Mazda tidak memberitahu sebarang kemaskini yang dibuat pada versi facelift ini, dan ia mungkin masih sama seperti sebelum ini. Sama seperti Yaris, Mazda 2 Hybrid ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam varian GA-B.
Ia dijana oleh unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin 1.5 liter tiga-silinder kitaran-Atkinson berkuasa 91 hp/120 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 79 hp/141 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 116 PS. Kuasa dialirkan hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear e-CVT.
Ini membolehkan Mazda 2 Hybrid ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j. Ia turut mencapai kadar penggunaan bahan api gabungan serendah 3.8 hingga 4.0 l/100 km berdasarkan standard WLTP, serta emisi CO2 87-3 g/km.
Menurut Mazda, model facelift ini akan ditawarkan dalam empat varian kemasan untuk pasaran United Kingdom, iaitu Centre-Line, Exclusive-Line, Homura dan Homura Plus.
Laporan Car Expert menyebut varian tertinggi Homura Plus menerima paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.5-inci (hanya 9-inci untuk varian lain), paparan head-up 10-inci dan juga bumbung panaromik.
Mazda menyatakan bahawa model facelift Mazda 2 Hybrid ini akan mula dijual di pasaran UK bermula Mac 2024, dan perincian lain serta harganya akan diumumkan kemudian. Untuk makluman anda, Mazda hanya menjual Yaris rebadge ini hanya dalam versi Hybrid, dan pasaran Eropah masih menerima Mazda 2 sebenar dalam versi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.